Iklan sempena Hari Kebangsaan 2015 rai kebersamaan
Syafique Shuib
Ogos 31, 2015 17:02 MYT
Ogos 31, 2015 17:02 MYT
Walaupun jumlah iklan sempena Hari Kebangsaan 2015 tidak banyak tahun ini, namun setiap iklan yang diterbitkan mempunyai jalan cerita yang unik.
Ada yang mengisahkan tentang sifat ingin saling membantu walaupun tidak mempunyai ikatan kekeluargaan, dan ada juga iklan yang ringkas namun tetap meraikan kebersamaan rakyat Malaysia.
Maxis
Iklan Hari Kebangsaan syarikat Maxis Communications (Maxis) menampilkan kisah menghulurkan bantuan kepada kenalan dan jiran yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
Kisah benar pakcik Lim Kim Sung, yang berusia 80 tahun digunakan sebagai cerita utama iklan syarikat telekomunikasi itu.
Kisah pakcik yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Ah San’ mendapat perhatian media beberapa bulan lepas.
Ini kerana, walaupun beliau tidak mampu untuk berdiri dan berjalan dan harus menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun Uncle Ah San mempunyai hati yang mulia untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Jiran kepada beliau iaitu Shirin Aziha Shahidan kongsi kisah berkenaan di Facebook dan kemudian mendapat perhatian orang ramai yang ingin membantu Uncle Ah San.
Hasil bantuan netizen, Uncle Ah San menerima kerusi roda dan katil baharu, dan juga jururawat untuk membantu beliau.
Naza World
Iklan NAZA World Group of Companies menampilkan sebuah kisah tiga sahabat bernama Umar, Ang dan Kanesh.
Persahabatan mereka bermula dengan sebuah kerena mainan dan dari situ, mereka tidak dapat dipisahkan.
Mereka turut bekerjasama di bengkel milik ayah Kanesh dan mempunyai impian untuk memiliki kedai yang lebih besar.
Mesej yang dikongsi iklan itu: "Baju di badan mengikut warna. Kawan di hati mengikut keperibadian.”
Petronas
Petronas menampilkan iklan dengan tajuk Akrab itu memaparkan kenangan tiga sahabat; Chua, Arun dan Mail, yang membesarkan bersama-sama di zaman kemerdekaan.
Mereka antara ribuan penduduk Tanah Melayu yang teruja untuk menyertai sambutan kemerdekaan di Stadium Merdeka.
BSN Malaysia
Bank Simpanan Nasional (BSN) Malaysia menampilkan perjalanan seekor kucing yang bernama ‘Happy’.
Menerusi lagu yang dirakam, ia mengimbas detik-detik kebersamaan yang dilalui rakyat Malaysia.
BSN Malaysia juga mengajak orang ramai untuk kongsi detik-detik kebersamaan yang akan digunakan untuk lirik baharu lagu berkenaan.
RTM
Radio Televisyen Malaysia (RTM) kongsi lagu tema Hari Kebangsaan 2015 di laman YouTube mereka.
Video muzik berkenaan menampilkan wajah-wajah Malaysia dan juga beberapa selebriti tanah air.