Iklan raya papar situasi pelajar terkandas di USIM dapat sambutan netizen

Bernama
Mei 21, 2020 18:18 MYT
Pelbagai kisah semasa tempoh PKP dimasukkan secara tidak langsung dalam iklan itu termasuk watak Mak Cik Kiah.
Situasi pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terkandas di kampus dan tidak dapat pulang beraya yang dijadikan tema iklan Hari Raya USIM 2020 'Raya Online', mencatatkan lebih 50,000 tontonan selepas lima hari ditayangkan.
Pengarah iklan 'Raya Online' yang juga pelajar Sarjana Muda Komunikasi USIM, Farhan Halim berkata iklan yang dihasilkan mahasiswa itu ditayangkan di saluran YouTube USIMTV dan laman Facebook USIM.
Beliau berkata menjadi tradisi USIM menerbitkan iklan hari raya setiap tahun sejak 2013 dan pada kali ini keseluruhan konsep jalan cerita dan skrip asal diubah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Farhan berkata situasi terkandas dan tempoh PKP dilanjutkan memberikan mereka idea untuk menghasilkan video berkenaan.
Bagi penulis skrip yang juga pelakon utama, pelajar Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah USIM Syauqi Mardia Baharudin, pelbagai kisah dan watak semasa tempoh PKP dimasukkan secara tidak langsung dalam iklan itu seperti Mak Cik Kiah, pembelian secara dalam talian, aplikasi Tik Tok dan 'abang' penghantar makanan.
"Kerja-kerja praproduksi, penggambaran dan suntingan semuanya berjaya disiapkan dalam tempoh 24 jam sahaja dan dibuat di rumah sewa dan selebihnya di studio 'green screen Stracomm'," katanya di sini, pada Khamis.
Iklan Hari Raya USIM 2020 'Raya Online' itu dihasilkan dan diterbitkan dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm).
USIM juga melancarkan sebuah lagu khas yang berjudul 'We Pray For A Better World` sebagai tanda sokongan moral kepada barisan hadapan dan mendoakan rakyat Malaysia ketika pandemik maut terbabit.
Lagu itu dinyanyikan oleh warga kampus dan alumni USIM selain artis terkenal tanah air Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip, Syura, Ayu Damit, Farawahida, Sahri, Rosma dan Akma.
Turut membuat penampilan khas, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.
-- BERNAMA
#Facebook #iklan raya #mahasiswa #pelajar #tak boleh balik raya #terkandas #USIM #YouTube
;