Iklan judi raya: Pelakon akui silap, patut ambil tahu isi kandungan penggambaran
Faris Danial Razi
April 16, 2021 23:58 MYT
April 16, 2021 23:58 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon iklan kontroversi Hari Raya yang tular pada Jumaat, tampil membuat penjelasan dan mengakui dia serta pelakon-pelakon lain yang terlibat, tidak tahu iklan itu dikaitkan dengan aktiviti judi.
Memetik laporan mStar, Saifullah Mohd Yunus mendedahkan, dia hanya mengetahui iklan terbabit mempromosikan perjudian dalam talian selepas 70 peratus proses penggambaran selesai.
“Pada awalnya, pengarah itu bagitahu pada saya sendiri yang mana saya adalah pelakon utama dalam penggambaran muzik video itu, tetapi benda itu tidak jelas.
“Sebenarnya sebelum saya memasuki ke set penggambaran pada 13 Mac lalu itu dan ketika di lokasi itu, saya difahamkan saya hanyalah watak sampingan sahaja.
“Ketika di lokasi penggambaran, babak-babak penggambaran saya sudah selesai dalam kira-kira 70 peratus, saya dah selesaikan babak babak saya dan kemudian apabila tiba di bahagian babak lirik, dia bagi lirik.
“Kita (termasuk pelakon lain) tidak hafal langsung, dia tulis dan lirik diletakkan di sebelah kamera dan pihak produksi meminta kami ‘lip sync’ atau gerak bibir, bukan kami yang menyanyi, itu bukan kami punya suara, ia adalah belakang tabir punya suara,” jelasnya.
Saifullah berkata dia cukup kecewa dan bersalah selepas menyedari dirinya terlibat dengan satu perbuatan yang jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Saya sangat kecewa, sehinggakan saya tidak dapat tidur semalam... saya berfikir, benda ni sangat teruk, saya terima banyak kecaman.
“Saya rasa sangat bersalah kerana saya sepatutnya bersikap lebih peka dan teliti. Saya ingin memohon maaf kerana tidak betul-betul teliti dengan projek iklan tersebut.
“Sepatutnya saya mengkaji latar belakang syarikat produksi itu terlebih dahulu, apa jalan ceritanya dan maklumat rakaman itu, termasuk segala perincian tugas yang perlu diambil.
Iklan Judi Raya | Pelakon akui silap, patut ambil tahu isi kandungan
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah video iklan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah berkata, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon itu.
Ia selepas sebuah iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.
#MCMC
#Ketua Polis Negara
#Aidilfitri
#video
#polis
#media sosial
#hari raya
#siasatan
#undang-undang
#perjudian
#iklan judi
#Muzik Video