Iklan judi raya: MCMC arah kandungan diturunkan
Hakim Rahman
April 16, 2021 13:04 MYT
April 16, 2021 13:04 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berhubung dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan Youtube untuk menurunkan iklan kontroversi judi raya.
Iklan tersebut diturunkan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform yang berpangkalan di luar negara.
Menurut kenyataan MCMC, kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pihak MCMC sejak 12 Mac 2021 lalu juga telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas (fast-track) dengan mengupayakan pihak PDRM mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah akta yang sama," kata kenyataan itu.
MCMC dalam masa sama mengingatkan pengguna media sosial pengguna media sosial untuk lebih bertanggungjawab melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan tidak menyebarluaskan kandungan tersebut.
"Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia.
"Pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya lebih peka untuk tidak bersubahat mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.
Tular di media sosial video iklan raya dipercayai dihasilkan sindiket perjudian dalam talian yang memperhebatkan promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Liriknya menggalakkan serta mengajak orang ramai berjudi untuk mendapatkan 'duit raya'.