Iklan judi raya hina usaha keras anak muda - Ema Syuhaili
Astro Awani
April 17, 2021 20:38 MYT
April 17, 2021 20:38 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan syarikat judi yang menerapkan idea bahawa masalah kewangan, terutamanya untuk menyambut lebaran boleh diselesaikan dengan berjudi, membawa niat jahat dan mengelirukan anak muda.
Timbalan Ketua Pemuda V Perikatan Nasional (PN), Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, amat dikesalkan syarikat judi itu tidak mempunyai kesedaran dan sensitiviti dalam mengaitkan perayaan agama Islam dalam hal berkenaan.
"Saya memandang serius satu iklan berkaitan hari raya yang tular dikongsi melalui aplikasi WhatsApp bebarapa hari kebelakangan ini. Iklan yang jelas mempromosi aktiviti judi atas talian melalui lagu bertemakan hari raya dan dilakonkan oleh beberapa orang anak muda lelaki dan perempuan itu amatlah tidak wajar dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Judi atas talian merupakan satu aktiviti yang diharamkan. Menggunakan anak muda dan tema hari raya dalam pengiklanan aktiviti tersebut sememangnya satu taktik licik yang bukan sahaja keji malah berniat untuk menyasarkan anak muda lain untuk terlibat dalam aktiviti tersebut. Saya juga mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti judi atas talian dan usaha untuk mempromosikannya secara terbuka menggunakan anak muda Melayu Muslim.
"Bagaimanapun, saya yakin ramai anak yang dapat membuat pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini. Saya juga yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat dan individu yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lima lelaki dan tiga wanita yang dikesan terbabit dalam pembikinan satu iklan mempromosi aktiviti perjudian atas talian sempena hari raya, ditahan polis pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Negara itu menegaskan, kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun yang ditahan akan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ema Syuhaili menasihati anak muda untuk menjauhkan kegiatan yang berunsurkan judi dalam apa jua aktiviti.
"Menjadi kaya melalui jalan perjudian itu cumalah mitos dan angan kosong kerana tiada keberkatan dari wang perjudian.
"Sekiranya masalah kewangan yang menjadi pokoknya, terdapat banyak jalan penyelesaian untuk masalah tersebut.
"Tiada yang dapat menggantikan usaha, kerja keras, kreativiti dan kemahiran sekiranya kita ingin meningkatkan status kehidupan harian," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan juga akan melancarkan program khusus dalam membantu anak muda mencari pekerjaan, penyediaan kursus peningkatan kemahiran dan bantuan modal memulakan serta mengembangkan perniagaan.
"Saya memahami realiti kesukaran ekonomi ketika ini dan kesannya terhadap ekonomi peribadi anak muda.
"Saya percaya program yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini akan dapat memanfaatkan golongan muda dalam usaha mencari pekerjaan, meningkatkan nilai dalam pasaran kerja dan juga mencipta pendapatan sendiri.
"Saya menyeru anak muda agar menjauhi perkara yang merosakkan seperti aktiviti judi. Teruskanlah usaha dalam menempuhi cabaran harian. Sesungguhnya cabaran itu akan menguatkan dan mematangkan kita dalam menghadapi kehidupan," katanya.