Iklan judi: Kempen tidak masuk akal, tidak cukup berjihad jadi punca - PPIM
Fareez Azman
April 16, 2021 14:41 MYT
April 16, 2021 14:41 MYT
KUALA LUMPUR: Video iklan mempromosikan judi atas talian sempena Hari Raya Aidilftri seperti yang tular baru-baru ini disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Demikian jelas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menempelak tindakan terbabit.
Ujarnya, dalam pada masyarakat berdepan cabaran pandemik COVID-19, lebih-lebih lagi apabila menjelang perayaan Aidilfitri, ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan.
"Buruk-buruk penjudi, dia tak kisah apa benda, ramai di luar sana terima (iklan) menerusi telefon kemudian cuba (berjudi) sebab kurang sedar, kebetulan nak balik raya duit tak ada. Jadi apa kaedah atau jalan mudah?
"Ini yang kita hendak MCMC pantau. Memang kita tahu kadang-kadang ada kekangan, tetapi sesuatu perlu dilakukan," jelasnya.
Malah tambahnya, tahap kesedaran yang kurang dalam kalangan golongan yang terdesak dan memerlukan, termasuk sesetengah golongan asnaf, menjadi antara faktor mengapa kegiatan judi terus mendapat sambutan.
"Kempen judi ini tidak masuk akal. Kelemahan kita adalah tidak cukup berjihad, berdakwah pun makin kurang.
"Kita mahu para ulama tengok dari sudut mana untuk membantu membawa kesedaran terhadap golongan asnaf. Sejak negara merdeka, saya tidak nampak bertambah baik. Kita (perlu) didik mereka tentang kebaikan yang membawa kesedaran, berbanding beri makanan semata-mata," katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Nadzim, beliau juga telah memaklumkan berhubung video terbabit kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah.
"Kita memang cuba membanteras judi tapi kita takut benda ini tidak diambil secara serius, saya harap Datuk Saifuddin dapat melihat perkara ini.
"Ini juga masalah judi, kemudian (membawa kepada) pinjam along dan mulalah (masalah rumah tangga), bercerai dan sebagainya," katanya lagi.
Iklan berdurasi dua minit satu saat itu menampilkan beberapa pelakon wanita dan lelaki berpakaian baju Melayu serta baju kurung sambil menyanyikan lagu raya.
Jalan cerita video tersebut juga seolah-olah memaparkan seorang lelaki tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampung, seterusnya memilih untuk mendapatkan wang menerusi kaedah perjudian atas talian.
#Saifuddin Abdullah
#Merdeka
#MCMC
#PPIM
#Islam
#Aidilfitri
#Cuba
#hari raya
#iklan
#judi
#Siasat
#PDRM
#sensitif
#Biadap