Ikhlas, Perkhas ganding bahu salur bantuan RM10,000 kepada komuniti memerlukan
Najmi Syahiran Mamat
Mei 22, 2020 12:38 MYT
Mei 22, 2020 12:38 MYT
Sejumlah RM10,000 bantuan diberikan oleh sebuah jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia Berhad, Ikhlas kepada petugas barisan hadapan dan 200 keluarga pelbagai komuniti di Felda Jengka 3, Maran, Pahang, baru-baru ini.
Bantuan berupa barangan keperluan asas itu adalah hasil kerjasama Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (Perkhas).
Presiden Perkhas yang juga pelakon terkenal, Datuk Fizz Fairuz berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Ikhlas menjalin kerjasama menerusi kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ itu.
“Pihak kami berharap sumbangan berbentuk barangan asas seperti beras, laksa, tepung, cordial, gula, krimer, meehoon, telur, air minuman serba sedikit dapat meringankan beban kehidupan seharian mereka.
“Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat terus membantu orang yang memerlukan termasuk golongan asnaf, petugas barisan hadapan, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, kempen itu berjaya mencapai sasaran kutipan lebih RM1 juta melalui inisiatif derma digital awam.
“Kami bersyukur kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ berjalan dengan lancar dan dana yang terkumpul melalui inisiatif derma digital awam ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban komuniti yang memerlukan, terutama pada masa yang mencabar ini.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Perkhas untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan,” katanya.
Difahamkan, kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia.
Ikhlas ditubuhkan khusus untuk membantu komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan termasuk tuntutan agama seperti ibadah umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum syariah.
#AirAsia
#bantuan
#COVID19
#Derma Dengan Ikhlas'
#Fizz Fairuz
#ibu tunggal
#ikhlas
#InThisTogether
#keluarga
#Maran
#OKU
#Pahang
#Perkhas
#PKPB
#sumbangan