Ikatan desak polis haramkan himpunan Bersih, Baju Merah

Astro Awani
November 16, 2016 14:08 MYT
ABDUL KADIR: "Polis masih mempunyai lima hari untuk membuat sesuatu demi keamanan dan kesejahteraan negara dan membela kerukunan hidup rakyat Malaysia yang begitu baik selama ini." - Gambar fail
Tunjuk perasaan yang dirancang dua kumpulan Sabtu ini dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan rusuhan besar-besaran, menurut Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Presidennya Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya bertindak mengharamkan perhimpunan anjuran kumpulan Bersih dan Baju Merah tersebut.
"Pihak polis sememangnya berkemampuan untuk mengambil tindakan tegas, berani dan serta-merta untuk menyekat keadaan buruk ini dari berlaku.
"Polis masih mempunyai lima hari untuk membuat sesuatu demi keamanan dan kesejahteraan negara dan juga bagi membela kerukunan hidup rakyat Malaysia yang begitu baik selama ini.
"Kami merayu agar demonstrasi kedua-dua pihak itu diharamkan serta-merta. Jangan kita menyesal kemudian hari," kata Abdul Kadir dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman menyertai dua siri perhimpunan Bersih sebelum ini, terdapat perancangan rapi oleh kumpulan dalaman untuk memprovokasi polis dan pihak lain serta mencetuskan rusuhan.
"Tujuannya adalah untuk menarik perhatian dunia dan juga bagi mendapatkan publisiti luar negara yang meluas," katanya.
Menurutnya, negara sedang melalui masalah sosio-ekonomi yang pelbagai akibat kemerosotan ekonomi dunia dan rakyat tidak mampu untuk menghadapi satu lagi masalah dalam bentuk rusuhan.
Rusuhan yang berunsurkan perkauman akan menakutkan para pelabur dari luar, katanya.
Abdul Kadir sebaliknya mencadangkan kepada Bersih dan kumpulan Baju Merah supaya membuat permohonan baru bagi meneruskan rancangan perhimpunan mereka di kawasan yang lebih selamat dan terkawal.
Katanya, ia boleh diadakan di Padang Merbok atau tempat lain yang mudah dikawal dan tidak akan membahayakan rakyat serta harta awam.
#Abdul Kadir Sheikh Fadzir #Baju Merah #Bersih #Ikatan
;