Ikatan Anak Mersing hargai keprihatinan TMJ dalam pembangunan belia di Johor

Astro Awani
September 5, 2021 15:02 MYT
Muhammad Syukri turut berharap Kerajaan Negeri Johor boleh mendengar dan memberi tumpuan kepada pandangan golongan belia - Gambar Ikatan Anak Mersing
KUALA LUMPUR: Ikatan Anak Mersing memuji sifat prihatin Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membangun dan memperkasa peranan belia di negeri itu terutamanya dalam aspek sukan dan kemasyarakatan.
Presidennya, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, Tunku Ismail merupakan antara watak penting dalam pembangunan golongan belia sejak dahulu lagi, termasuk melalui penubuhan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMICY) dan Southern Volunteers.
"Terbaharu, Tunku Ismail telah mengumumkan bahawa TMICY yang seterusnya akan dibina di Kluang dan Iskandar Puteri. Lebih mengembirakan lagi, cadangan untuk Gimnasium Rakyat juga telah diluluskan dan akan ditempatkan di TMIYC Iskandar Puteri.
"Sasaran utama Tunku Ismail adalah untuk melihat golongan belia di Johor menikmati pelbagai kemudahan seperti padang bola sepak sintetik, gelanggang sukan ekstrem, hab e-sports dan gelanggang futsal serta asrama untuk penginapan pengunjung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, TMIYC merupakan idea dan visi Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ untuk memperkasakan pembangunan golongan belia dengan pembinaan sebuah Youth Centre di setiap daerah di Johor.
Muhammad Syukri menambah, usaha yang dilakukan itu akan membuka banyak ruang yang membolehkan golongan belia di Johor mencungkil bakat demi perkembangan diri dan memupuk semangat kekitaan semasa mereka.
Jelas beliau lagi, kesungguhan yang diperlihatkan Tunku Ismail menunjukkan baginda sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan, selain memastikan perubahan tersebut membawa manfaat serta faedah kepada golongan belia.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Syukri berkata, Ikatan Anak Mersing berharap Kerajaan Negeri Johor boleh mendengar dan memberi tumpuan kepada pandangan golongan belia bagi menjayakan agenda pemulihan negeri pasca pandemik.
"Saya amat berharap agar Kerajaan Negeri Johor di bawah kepemimpinan Datuk Hasni Mohammad melibatkan pandangan dan suara belia Johor sebagai penanda aras baharu kepada kerajaan negeri sebagai langkah terkehadapan dalam mendekati golongan belia demi masa depan negeri tercinta," katanya.
#Ikatan Anak Mersing #Tunku Mahkota Johor #Belia Johor #Bangsa Johor #COVID-19 #berita hari ini
;