Ikat jamin ditolak, Jamal dibawa ke penjara Sungai Buloh
Hakim Rahman
Julai 5, 2018 19:43 MYT
Julai 5, 2018 19:43 MYT
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas mahkamah petang tadi menolak permohonan ikat jamin terhadap beliau.
Keputusan dibuat selepas Majistret Muhammad Firdaus Sadina Ali selesai mendengar hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Jamal sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di sebuah hospital di sini, 25 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos atas alasan tertuduh pernah melarikan diri sebelum ini.
Jamal yang diwakili peguam Khairul Annuar kemudiannya memohon jaminan atas alasan berlaku salah faham dan memberi alasan Jamal tidak berniat melarikan diri.
Muhammad Firdaus Sadina Ali kemudiannya memutuskan tiada ikat jamin diberikan dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.