Ikan temenung semurah lima sen seekor jadi rebutan!

Bernama
Julai 21, 2018 21:07 MYT
Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar kawasan itu mula beratur seawal pukul 2 petang apabila mengetahui maklumat mengenai jualan ikan murah serendah RM0.05 sen itu tular di laman sosial sejak semalam.
Kedai ikan berhadapan Masjid Al-Majidi (Masjid Kuning) Sungai Layar dekat sini, menjadi tumpuan ramai apabila ikan kembung atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ikan temenung dijual hanya pada harga RM0.05 sen dan RM0.30 sen seekor.
Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar kawasan itu mula beratur seawal pukul 2 petang apabila mengetahui maklumat mengenai jualan ikan murah serendah RM0.05 sen itu tular di laman sosial sejak semalam.
Seorang pelanggan, Noraliza Ismail, 38, dari Kampung Zainal Abidin, Bedong, dekat sini, berkata, dia bertolak ke lokasi kira-kira pukul 2 petang tadi supaya tidak ketinggalan untuk mendapatkan ikan pada harga yang murah.
"Orang ramai memang tunggu dari awal, sekejap sahaja ikan 5 sen itu habis dijual..saya sempat membeli 40 ekor ikan temenung yang dijual pada harga RM0.05 sen seekor dan 20 ekor lagi pada harga RM0.30 sen seekor," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia sedia maklum mengenai kedai ikan itu yang sering menawarkan harga hasil laut yang lebih murah dari harga pasaran, malah sudah lima kali berkunjung ke situ setiap kali diadakan promosi jualan murah.
Sementara itu, pemilik kedai ikan Pasar Kampung itu, Khairol Azelan Johari, 37, berkata, sebanyak 10,000 ekor ikan temenung habis dijual hari ini dengan ikan berharga lima sen yang berjumlah 6,000 ekor habis dalam tempoh 30 minit sebaik jualan dibuka pukul 3 petang tadi.
"Baki ikan tersebut dijual pada harga RM0.30 sen seekor dan habis pada pukul 5 petang...Dari segi harga, ia bergantung kepada bekalan..kalau dapat murah kami tawarkan harga murah..setakat ini ikan temenung, kami pernah jual pada harga 5 sen, 10 sen dan 30 sen seekor," katanya.
Menurutnya, bekalan ikan temenung dan hasil laut lain diperolehinya dari Kuala Kedah, Kuala Perlis, Kuala Muda dan Tanjung Dawai.
"Selain ikan temenung, kita juga buat promosi harga murah bagi Udang Galah (RM0.70 sen hingga RM1 seekor), ikan Cencaru (RM0.20 sen seekor), bergantung kepada bekalan yang diperoleh.
"Kedai kami beroperasi setiap hari bermula pukul 3 petang, tetapi waktu promosi harga murah hanya akan dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook atas nama 'Khairol Azelan'," katanya.
Khairol Azelan yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam dunia perniagaan, berkata, dia akan meneruskan lagi promosi seperti itu bagi membantu meringankan perbelanjaan harian pelanggannya.
"Niat saya untuk berkongsi rezeki dan bersedekah..lagi pun ini juga salah satu cara mempromosikan Pasar Kampung yang beroperasi sejak tiga tahun lalu, kepada lebih ramai pelanggan.
"Cuma hari ini saya terpaksa hadkan jualan, 40 ekor seorang bagi ikan RM0.05 sen dan 20 ekor seorang bagi ikan RM0.30 sen, supaya semua pelanggan yang lama menunggu dapat membelinya..saya amat berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong saya," katanya.
-- BERNAMA
#ikan kembung #ikan temenung #Masjid Al-Majidi #Masjid Kuning #Sungai Layar
;