Ikan salai jadi buruan untuk masakan berbuka puasa

Ifti Femida
April 23, 2022 09:30 MYT
Azman menjual ikan tilapia dan ikan patin salai kira-kira 100 ekor sehari tetapi di hujung minggu dan cuti umum permintaan meningkat sehingga 500 ekor sehari. - Foto Astro AWANI
JERANTUT: Peniaga ikan salai mendapat sambutan luar biasa sejak awal bulan Ramadan terutama di hujung minggu sehingga perlu mendapatkan bekalan tambahan daripada penternak ikan sungai di sekitar Kampung Jerantut Feri berdekatan Sungai Pahang, dekat sini.
Permintaan itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan kepada fasa endemik antara penyebab ahli keluarga yang tinggal di luar daerah ini pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga.
Peniaga ikan salai sungai, Azman Zainuddin, 52 tahun, berkata, boleh dikatakan setiap kali bulan Ramadan permintaan terhadap ikan liar Sungai Tembeling dan Sungai Pahang meningkat bukan sahaja di kalangan pelanggan tempatan malahan penggemar dari luar daerah ini.
“Sebelum serangan wabak COVID-19, permintaan memang banyak, tetapi kira-kira dua tahun dalam fasa pandemik, berkemungkinan ahli keluarga yang tinggal di luar Pahang tidak balik ke kampung serta pendapatan orang ramai terjejas maka permintaan ikan salai turut terkesan.
“Saya masih mengekalkan harga lama kerana tidak mahu membebankan orang ramai kerana ketika ini semua orang sedang dalam fasa membina cara berbelanja dengan berhemah,” katanya ketika ditemui di Kampung Jerantut Feri berdekatan Sungai Pahang, dekat sini, semalam.
Katanya, ketika ini dia menjual ikan tilapia dan ikan patin kira-kira 100 ekor sehari tetapi di hujung minggu dan cuti umum permintaan meningkat sehingga 500 ekor sehari.
“Semua harga ikan salai dijual mengikut saiz, ikan tilapia berharga RM6 seekor ke atas, dan patin RM12 seekor.
“Saya juga menyalai daging segar seberat 40 kilogram untuk dijual pada harga RM15 sekilogram dan turut menjadi buruan penduduk di sini,” katanya.
Azman berkata, dia dan isterinya, Asrah Ahmad, tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mendapatkan bekalan ikan salai di Gerai Patin dan Tilapia yang terletak di tepi jalan raya Jerantut-Maran, berdekatan Kampung Jerantut Feri dekat sini.
Mendedahkan rahsia keenakan ikan salainya, Asrah, 49 tahun, berkata, kedua jenis ikan yang disiang dan dibelah dua kemudian dicampur kunyit, serbuk lada dan garam disalai di atas bara api kayu terpilih antara satu setengah hingga dua jam.
"Ketika menyalai, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan.
"Kelazimannya, penduduk di daerah ini gemar memasak lemak pedas campur ikan salai sebagai hidangan berbuka puasa dan tengah hari ketika di bulan lain.
"Kami sentiasa menjaga kualiti ketika menyalai termasuk pemilihan kayu api serta teknik menyalai supaya pelanggan berpuas hati malah kerap kali datang semula berbelanja di gerai ini," katanya.
#Ramadan #Juadah Berbuka Puasa #ikan salai #peniaga
;