Ikan paus terdampar di Pantai Merdeka

Astro Awani
Mac 6, 2013 12:51 MYT
Pengunjung Pantai Merdeka dekat sini terkejut dan gempar dengan kehadiran seekor ikan paus yang ditemui terdampar di kawasan pantai itu malam tadi.
Kehadiran paus terdampar itu disedari lebih kurang pukul 8 malam oleh nelayan bot ikan bilis yang berlabuh di Pengkalan Bot Pantai Merdeka.
"Tak pernah jadi sebelum ini. Ini kampung saya pertama kali saya jumpa (seperti) ini. Rasa pelik juga, musykil," kata seorang penduduk tempatan, Mohd Zafrul Mohd Rosli.
Ia bagaimanapun bukanlah kejadian pertama kerana seekor ikan paus jenis sama pernah ditemui di Pulau Sayak yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Merdeka, dua tahun lalu.
Sementara itu, orang ramai yang berhimpun melihat paus berkenaan hairan bagaimana ikan itu boleh berada di perairan Kuala Muda.
Ikan itu dianggarkan seberat 600 kilogram dan panjangnya 12 meter. Punca kematiannya tidak diketahui dan tiada sebarang tanda kecederaan pada ikan itu.
Menurut Jabatan Laut, mamalia ini adalah daripada spesis paus bryde yang biasa ditemui di kawasan perairan beriklim tropika dan subtropika di Lautan Atlanta, Pasifik dan Hindi.
#ikan paus #Pantai Merdeka #terdampar
;