Ikan masin penambat selera bersahur
Adie Sufian Zulkefli
April 12, 2021 12:11 MYT
April 12, 2021 12:11 MYT
ALOR SETAR: Jika tiada aral melintang, esok umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa.
Seperti kelazimannya, menjelang bulan Ramadan, orang ramai akan mula membuat persiapan dan memikirkan apakah juadah yang akan disediakan untuk keluarga semasa berbuka dan bersahur.
Kebiasaannya juga, makanan kering, masin dan masam sentiasa menjadi pilihan untuk santapan bersahur sekeluarga.
Berikutan makanan kering sering dianggap pembuka selera untuk orang ramai menikmatinya pada waktu sahur, ia sekali gus meningkatkan jualan peniaga sekali ganda berbanding hari biasa.
Antaranya, ikan talang, senangin masam, gelama masin, ikan bilis dan udang kering.
Peniaga ikan kering di Pasar Kubang Rotan, Azmi Hussin, 60, memberitahu Astro AWANI, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan di bulan Ramadan ialah ikan talang dan ikan tenggiri, selain ikan gelama dan ikan senangin.
Azmi mengakui, permintaan barangan jualannya itu sangat luar biasa berbanding hari biasa kerana rata-rata pengguna mahu menukar selera pada bulan Ramadan.
Bagi Siti Rashidah Hussain, 35, selera makan di bulan Ramadan agak berlainan dan pengambilan makanan berunsur kering menjadi pilihan keluarganya setiap kali bulan Ramadan tiba.
“Bila ada ikan masin, telur masin memang bangkit selera… ikan masin pula boleh masak macam-macam, jadi sesuai sangat untuk juadah di bulan puasa,” katanya.
Seorang lagi Bahrin Hamzah, 60, memberitahu, kebanyakan ahli keluarganya gemar memakan ikan masin memandangkan hidangan berdaging seperti ayam kurang mendapat tempat di bulan Ramadan.
“Kalau waktu sahur tidak ada ikan masin tak seronok, tak sempurnalah… ikan masin wajib ada. Saya akan simpan untuk makan sepanjang sebulan berpuasa,” jelas beliau.
#ikan masin
#bersahur
#Ramadan
#Ilham Ramadan
#Buka Lembaran Baharu
#Ramadan 2021
#juadah bersahur
#ikan gelama
#ikan talang
#ikan senangin
#ramadan2021