Ikan lumba-lumba cedera terdampar di Pantai Air Papan
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 31, 2022 13:52 MYT
Disember 31, 2022 13:52 MYT
MERSING: Seekor ikan lumba-lumba seberat 35 kilogram terdampar di Persisiran Pantai Air Papan, di sini, berikutan ombak kuat, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Mersing, Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 8.48 pagi itu disedari Petugas Menara Penyelamat Pantai APM ketika meletakkan bendera amaran (merah) di pantai terbabit.
"Lokasi ikan lumba-lumba itu terdampar pada jarak 800 meter dari menara. Petugas telah melepaskan ikan lumba-lumba tersebut tetapi gagal berikutan air pasang dan ombak kuat.
“Ikan terbabit turut cedera di bahagian ekornya. Pihak APM Mersing telah menghubungi Pejabat Perikanan untuk tindakan selanjutnya.
"Pihak Pejabat Perikanan telah hadir ke lokasi dan mengambil ikan lumba-lumba tersebut dan melepaskannya di Teluk Buih, Mersing," kata Nurnajibah.
Semasa kejadian cuaca cerah dan ia sememangnya laluan ikan lumba-lumba.