Ikan dijemur hanya ikan baja - Jabatan Perikanan Kedah

Bernama
Mac 5, 2019 23:55 MYT
Imej yang menunjukkan beberapa ekor anjing dilihat memijak dan menjilat ikan yang sedang dijemur.
Jabatan Perikanan Kedah pada Selasa mengesahkan ikan yang dikeringkan dalam sebuah video yang tular menerusi media sosial pada Isnin bukan untuk dijadikan ikan masin sebaliknya akan dijual sebagai ikan baja.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Perikanan Kedah berkata pihaknya telah melakukan pemantauan di lokasi tersebut dan mendapati ikan baja berkenaan digunakan untuk tujuan baja tanaman ataupun dijual kepada kilang pemprosesan serbuk ikan.
"Ikan yang dikeringkan tersebut adalah sebahagian kecil daripada hasil semasa proses penangkapan ikan bilis mengunakan bot konvensional pukat jerut bilis Zon A.
"Semasa proses penangkapan ikan bilis terdapat ikan kasar, sebagai contoh ikan tamban, ikan kembung dan lain-lain ikan yang turut sama ditangkap bersama ikan bilis. Ikan yang dikeringkan ini hanyalah salah satu sumber pendapatan tambahan berdasarkan lebihan hasil tangkapan dan bukannya industri utama," demikian menurut kenyataan itu.
BACA: Ikan kering dijemur jadi santapan anjing sebelum dipasarkan
Pada Isnin, sebuah stesen televisyen dalam laporannya memaparkan video anjing menjilat dan memijak hasil laut dipercayai ikan kering di sebuah lokasi di pulau ini. Video itu kemudian tular dalam media sosial.
Jabatan Perikanan Kedah berkata industri utama di kawasan ini ialah pemprosesan ikan bilis menggunakan mesin pengering.
"Penggunaan mesin pengering bagi industri bilis Langkawi diguna pakai di seluruh pulau ini dan Tanjung Dawai. Penggunaan mesin ini adalah lebih efektif, selamat dan tidak dipengaruhi faktor cuaca berbanding kaedah konvensional menggunakan kaedah jemuran bawah cahaya matahari," katanya.
Jabatan Perikanan Kedah berkata pihak industri juga telah dinasihatkan agar mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan menjaga kebersihan serta menghubungi agensi yang berkaitan sekiranya memerlukan maklumat lanjut. -- Bernama
#ikan kering #ikan masin #Jabatan Perikanan Kedah #video viral
;