Ikan baung ekor merah agresif, ancam habitat sungai tempatan
Amir Hamzah Nordin
September 4, 2022 05:45 MYT
September 4, 2022 05:45 MYT
JERANTUT: Ikan baung ekor merah (Hemibagrus Wyckioides) bakal memusnahkan spesies ikan sungai tempatan yang berada di sepanjang sungai di Pahang dalam masa terdekat sekiranya tidak dicegah dengan segera.
Ikan ini atau dipanggil ‘baung Mekong' atau ‘redtail catfish’ mula dikesan di sungai-sungai di Pahang sejak 5 tahun lalu.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, ikan jenis ini berasal dari Sungai Mekong di Vietnam dan dilaporkan berada di Malaysia sejak 5 tahun lalu.
“Ikan ini berkemungkinan dibawa masuk secara haram dan tidak melalui pihak berkuasa kerana mungkin dibawa masuk anak benih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Dilaporkan ikan ini mampu membesar dan berukuran sehingga 130 cm (51 inci) dengan berat maksimum mencecah 80 kilogram, dan ikan spesies ini dipercayai jenis ikan keli yang terbesar di Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas penyampaian hadiah kepada pemenang dalam Program Moh Buru Baung Ekor Merah, di Waterfront Jerantut, dekat sini, pada Ahad.
Katanya, bagi menyelamatkan spesies ikan tempatan yang popular seperti patin, jelawat, temoleh, lampam dan beberapa spesies lain yang berada di sepanjang sungai-sungai di Pahang, sewajarnya ikan ini dihapuskan.
“Oleh itu, tujuan program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya sumber ikan darat atau sungai sebagai salah satu sumber makanan.
“Selain itu, ia untuk menjaga kepentingan seramai 1,106 orang nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan seramai 610 orang nelayan datang dari daerah Jerantut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashri Bassari berkata, jabatannya telah menerima laporan daripada nelayan darat menyatakan terdapat ikan spesies ikan baung ekor merah berada di perairan sekitar sungai di Pahang.
“Ikan ini sangat agresif dan makan semua ikan dan hidupan lain di habitatnya, sebab itu negara kita melarang kemasukan ikan ini bagi melindungi habitat ikan sungai sedia ada.
“Jabatan melarang spesies ini memasuki perairan sungai di negeri dan tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan ini agar dapat dikawal dan tidak mengancam ikan asal atau tempatan di sungai di negeri ini,” katanya.