Ikan arapaima libas anggota Jabatan Perikanan sudah mati

Sinar Harian
Oktober 13, 2024 19:00 MYT
Ikan arapaima gergasi ditangkap di Masjid Tanah, Melaka pada Jumaat lalu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Proses bedah siasat tiga ekor arapaima gergasi yang mati selepas ditangkap di Masjid Tanah, Melaka pada Jumaat lalu akan dibuat dalam masa terdekat.
Difahamkan, spesies invasif seberat antara 80 hingga 200 kilogram (kg) dan sepanjang kira-kira 1.2 hingga 2.5 meter setiap seekor itu disahkan mati selepas dipindahkan ke Zoo Negara dipercayai akibat faktor usia.
Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, kematian ikan asing itu telah dimaklumkan oleh pihak Zoo Negara.
"Bagaimanapun proses bedah siasat akan dilakukan minggu ini untuk mengketahui punca sebenar kematian spesies berkenaan.
"Selepas proses itu, pihak jabatan akan melaksanakan proses taksidermi atau mengawet haiwan bagi tujuan pendidikan dan kesedaran kepada awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan lima anggota Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) cedera dilibas ikan arapaima gergasi ketika operasi tangkapan spesies invasif itu di tempat takungan air bawah bangunan terbiar di Masjid Tanah, Melaka, Jumaat lalu.


Operasi lebih tujuh jam bermula jam 9 pagi itu dilaksanakan DOF Melaka dengan kerjasama DOF Selangor.
Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, lima anggota berusia 35 hingga 59 tahun yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah.
Dua anggota masing-masing alami sesak nafas dan bengkak dilutut akibat terkena libasan kepala ikan arapaima, manakala tiga lagi cedera ringan di lutut dan dada.
Namun kesemua anggota tersebut telah dirawat sebagai pesakit luar kecuali seorang yang ditahan untuk pemantauan lanjut oleh pihak hospital sebelum dibenarkan pulang. -- Sinar Harian
#arapaima #libas anggota Jabatan Perikanan #disahkan mati #dipindahkan ke Zoo Negara
;