IJN tawar perkhidmatan rawatan kardiovaskular di Pantai Timur

Isabelle Leong
Mac 31, 2021 17:25 MYT
Dr Aizai Azan (kanan) menandatangani MoU itu dengan UniSZA diwakili Dr Hassan Basri (kiri) dan disaksikan Dr Noor Hisham (tengah). - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) akan menawarkan perkhidmatan dan rawatan bagi pesakit kardiovaskular di Pantai Timur dengan membuka Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, hospital hasil kerjasama antara IJN dan UniSZA berkenaan akan mula beroperasi secara rasmi pada suku pertama 2022.
Dr Aizai berkata kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu akan menyaksikan perkongsian teknologi dan kepakaran oleh IJN selain penyediaan perkhidmatan perubatan penyakit kardiovaskular dan torasik di pusat perubatan jantung itu.
“IJN beroperasi di Kuala Lumpur sejak 1992, namun kami menerima kunjungan daripada pesakit dari seluruh negara dan terdapat 30,000 pesakit yang datang dari negeri Pantai Timur.
“Salah satu cara untuk menambah baik akses pesakit kepada rawatan berkualiti adalah dengan membawa perkhidmatan kami lebih dekat dengan pesakit,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Dr Aizai yang mewakili IJN menandatangani MoU itu dengan UniSZA diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu, Dr Aizai berkata IJN akan mula menawarkan perkhidmatan di Hospital Pengajar UniSZA pada suku ketiga atau keempat tahun ini sebagai permulaan.
Sementara itu, Dr Hassan berkata kerjasama tersebut juga membuka peluang bagi kedua-dua pihak untuk mengadakan penyelidikan pembangunan teknologi kardiologi dan membolehkan universiti berkenaan melahirkan pakar bedah kardiologi.
“Ini peluang yang baik untuk pelajar UniSZA untuk belajar dan berlatih dengan pakar dari IJN.
“Ia memanfaatkan kira-kira 300 pelajar di Fakulti Perubatan UniSZA serta pensyarah kami yang berpeluang dilatih pakar kardiologi IJN,” ujarnya.
#IJN #Universiti Sultan Zainal Abidin #UniSZA #Hospital Pengajar UniSZA #Dr Aizai Azan Abdul Rahim
;