IJN berjaya lakukan implan EV-ICD bagi ritma jantung abnormal pertama di Asia Tenggara

Bernama
Jun 28, 2024 07:30 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata IJN sentiasa berada di hadapan dalam aspek inovasi perubatan dan Aurora EV-ICD adalah antara bukti kepada usaha itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencatat satu lagi sejarah penting apabila berjaya melakukan prosedur implan 'extravascular implantable defibrillator' (ICD) baharu pertama di Asia Tenggara pada Jumaat.
Aurora Extravascular Implantable Cardioverter Defibrillator (EV-ICD), peranti pertama seumpama itu yang dibangunkan oleh Medtronic, memberikan harapan kepada pesakit yang berdepan risiko serangan jantung secara tiba-tiba akibat ritma jantung laju yang abnormal.
IJN dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan prosedur implan Aurora EV-ICD julung kali itu dilakukan oleh Pengarah Klinikal Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Implan Datuk Dr Azlan Hussin dan pesakit kini menjalani proses pemulihan mengikut jadual.
"Sistem Aurora EV-ICD ini direka untuk memantau ritma jantung secara berterusan, memberikan kejutan elektrik pada masa tepat bagi memulihkan ritma jantung kepada normal apabila diperlukan ke atas pesakit yang berisiko kematian mengejut disebabkan serangan jantung.
"Selain memberikan defibrilasi yang menyelamatkan nyawa dan perentak antitakikardia dalam sistem implan tunggal, EV-ICD melangkaui kaedah tradisional implan ICD apabila ia ditanam di luar sistem peredaran darah," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, ciri unik tersebut memberi kelebihan dan menawarkan alternatif kepada pesakit tertentu yang memerlukan ICD tetapi berdepan halangan untuk melakukan implan konvensional
Dalam kenyataan sama, Dr Azlan menjelaskan bahawa penyelesaian 'di luar kotak' ini adalah alternatif kepada teknik implan defibrilator konvensional.
"Biasanya bagi ICD konvensional alat peranti dipasang melalui urat terus ke jantung, bagaimanapun EV-ICD kedudukan perantinya di luar jantung dan urat.
"Ini sangat membantu dalam menghapuskan risiko komplikasi jangka panjang seperti jangkitan dalam darah dan mengatasi cabaran penyumbatan vaskular yang menghalang pemasangan peranti pada pesakit tertentu yang memerlukan perlindungan ICD tetapi pada masa sama perlu mengekalkan keutuhan vaskular," katanya.
Menurut IJN, peranti tersebut diintegrasikan dengan rangkaian CareLink Medtronic, yang membolehkan penyedia penjagaan kesihatan memantau keadaan jantung pesakit dari jauh dan mengesan kemungkinan berlaku isu serta komplikasi dari awal.
"Dalam kajian melibatkan 356 pesakit di 46 hospital di seluruh dunia mendapati EV-ICD mempunyai kadar kejayaan defibrilasi sebanyak 98.7 peratus.
"Kajian yang diterbitkan di The New England Journal of Medicine itu juga mendapati bahawa peranti tersebut memenuhi ciri keselamatannya, dengan tidak mengalami komplikasi besar pada sistem atau prosedur dalam tempoh enam bulan selepas implan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata IJN sentiasa berada di hadapan dalam aspek inovasi perubatan dan Aurora EV-ICD adalah antara bukti kepada usaha itu.
"Pencapaian ini mengukuhkan komitmen seluruh pasukan kami untuk terus melangkah sejauh yang mungkin," katanya.
-- BERNAMA
#prosedur implan #IJN #Aurora EV-ICD #serangan jantung
;