IJN bakal buka cawangan di Melaka

Astro Awani
Disember 22, 2017 12:24 MYT
Idris menaiki 'Monorel Tour Ride' selepas merasmikan pengoperasian semulanya di Stesen Monorel Tun Ali hari ini. --fotoBERNAMA
Institut Jantung Negara (IJN), bakal membuka cawangannya di negeri ini bagi memberi kemudahan kepada pesakit jantung di Melaka dan utara johor mendapatkan perkhidmatan rawatan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, tapak seluas kira-kira 3 hektar di Bachang telah dikenal pasti untuk dibangunkan cawangan IJN atau IJN Mini itu.
"Tapaknya dicadangkan di Kampung Enam, Bachang membabitkan kawasan seluas 2.8 hektar, iaitu di pinggir Sungai Melaka dan sesuai untuk pesakit jantung beristirehat.
"Selain mengurangkan kesesakan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di IJN Kuala Lumpur, IJN Mini ini akan menjadi pusat pemeriksaan untuk pesakit sebelum dan selepas pembedahan," katanya.
Idris berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan perkhidmatan operasi 'Monorel Tour Ride' Sungai Melaka di Stesen Tun Ali, hari ini.
Katanya, kerja-kerja tapak bagi pembinaan IJN Mini yang mempunyai nilai pelaburan lebih RM100 juta ringgit itu dijangka dimulakan tahun depan dan akan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.
#cawangan IJN #idris haron #IJN #IJN mini