IJM raih dua kontrak bernilai RM981.8 juta

Bernama
Oktober 19, 2022 08:20 MYT
Nilai perolehan kontrak tertunggak IJM Construction kekal memberangsangkan pada RM4.6 bilion, yang terdiri daripada gabungan sektor swasta dan awam. - Foto IJM
KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd (IJM), menerusi anak syarikat milik penuhnya IJM Construction Sdn Bhd, memperoleh dua kontrak di Selangor bernilai RM981.8 juta.
Ia melibatkan kontrak pembinaan siap guna reka bentuk dan bina bernilai RM831 juta untuk hospital kerajaan baharu yang dilengkapi 312 katil di Kapar dan kontrak RM150.8 juta untuk membina menara pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Shah Alam, kata IJM dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kerja-kerja pembinaan Hospital Kapar dengan kemudahan perubatan pakar dijadualkan bermula pada November 2022 dan dijangka siap menjelang November 2026.
"Projek itu adalah usaha sama 60:40 antara IJM Construction dan Ganda Imbuhan Sdn Bhd.
"Pemberian kontrak ini jelas menunjukkan kekuatan IJM dalam sektor penjagaan kesihatan, mencerminkan rekod prestasi cemerlang kami dalam bidang ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan IJM Liew Hau Seng.
Sementara itu, kerja pembinaan untuk bangunan LHDN 18 tingkat pula dijadualkan bermula pada 1 Nov 2022, dan siap pada 31 Okt 2025.
IJM berkata berikutan kejayaan projek itu, nilai perolehan kontrak tertunggak IJM Construction kekal memberangsangkan pada RM4.6 bilion, yang terdiri daripada gabungan sektor swasta dan awam serta pembinaan bangunan dan projek kejuruteraan awam yang memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek.
-- BERNAMA
#IJM #kontrak #Hospital #menara pejabat LHDN
;