IHP: Inflasi makanan meningkat 4.0 peratus - Ketua Perangkawan
Harits Asyraf Hasnan
April 22, 2022 14:04 MYT
April 22, 2022 14:04 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Mac 2022 meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu adalah melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 (1.9 peratus).
"Peningkatan inflasi keseluruhan telah didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (4.0 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Ini diikuti oleh Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah meningkat (3.0 peratus); Restoran dan Hotel (2.9 peratus) dan Pengangkutan (2.6 peratus).
"Dalam masa yang sama, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.9 peratus manakala Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan meningkat 1.1 peratus.
"Kedua-kedua Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api lain serta Pendidikan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.9 peratus, manakala Minuman Alkohol dan Tembakau serta Kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan marginal 0.5 peratus dan 0.2 peratus," memetik Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mac 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Mohd Uzir menjelaskan kenaikan inflasi makanan, yang merupakan komponen terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
"Sementara itu, subkumpulan sayur-sayuran meningkat 5.1 peratus. Sayur-sayuran yang menunjukkan peningkatan adalah bayam (24.1 peratus); salad (22.2 peratus) dan sawi (14.5 peratus).
"Peningkatan harga sayur-sayuran ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga global racun dan baja.
"Tambahan pula, konflik antara Rusia dan Ukraine dijangka memburukkan keadaan dengan mengakibatkan peningkatan harga baja sekali gus kos pengeluaran," memetik laporan itu.
Selain itu, menurut beliau purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 mencatatkan kenaikan harga tertinggi RM3.73 seliter berbanding RM2.42 seliter pada bulan yang sama tahun lalu.
Malah, harga minyak mentah Brent juga mencatatkan peningkatan sebanyak 77.3 peratus kepada AS$115.59 setong pada Mac 2022.
"Kenaikan harga minyak global ini adalah ekoran pencerobohan di Ukraine oleh Rusia. Sementara itu, IHP bagi suku tahun pertama 2022 meningkat 2.2 peratus kepada 125.2 berbanding 122.5 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
"Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat dengan kadar perlahan 0.9 peratus," katanya.
#Mohd Uzir Mahidin
#harga minyak
#inflasi Malaysia
#kadar inflasi terkini
#Indeks Harga Pengguna
#IHP
#Ketua Perangkawan