IGEM: Memanfaat pembangunan teknologi hijau

Astro Awani
September 10, 2015 14:26 MYT
Kathiravale berkata Persidangan Antarabangsa Greentech (IGEM) 2015 dapat mencungkil bakat serta memberi penyelesaian kepada masalah para usahawan, pengilang mahupun pengeluar. - Gambar Astro AWANI
Untuk menghasilkan teknologi yang berguna kepada Malaysia dan antarabangsa secara keseluruhannya, Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) membantu industri kecil dan sederhana dengan memberi peluang pasaran dan panduan untuk mereka.
Ketua penganalisis teknologi baru MIGHT, Sivapalan Kathiravale berkata Persidangan Antarabangsa Greentech (IGEM) 2015 dapat mencungkil bakat serta memberi penyelesaian kepada masalah para usahawan, pengilang mahupun pengeluar.
Tambahnya dengan penemuan teknologi baru seperti "Free The Seed" ia dapat mengelakkan pembakaran terbuka dan menghasilkan jerami padi yang lebih bermutu serta menukarkannya kepada produk yang berfaedah dan memperoleh keuntungan daripadanya.
IGEM 2015 adalah sebahagian daripada usaha negara untuk memupuk perniagaan hijau di malaysia dengan memberikan platform bagi syarikat yang diiktiraf membabitkan diri dengan pihak berkepentingan, menjana jualan dan melonjakkan ekonomi negara
Teknologi hijau merupakan salah satu bidang penting dalam pembangunan negara dan kerajaan mensasarkan perolehan RM1.2 bilion dalam empat hari Persidangan Antarabangsa Greentech IGEM 2015.
Sejumlah 400 buah syarikat menyertai IGEM dan lebih 50 buah negara turut serta pada kali ini seperti Jerman, Korea, Jepun, Taiwan dan Dewan Perniagaan Euro.
Pameran berlangsung dari 9 hingga 12 September 2015 bertema 'Memperkasakan Ekonomi Hijau' dan menyasarkan penyertaan daripada pelbagai sektor antaranya kerajaan, pengilang dan pengeluar, bank, pelabur, NGO, ahli akademik dan pelajar.
#IGEM #MIGHT #teknologi hijau
;