Idris Jusoh lepaskan jawatan Pengerusi Felda

Hafizi Rosli
Jun 21, 2023 11:37 MYT
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan pengunduran beliau daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa 30 Jun ini. - Gambar fail Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan pengunduran beliau daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa 30 Jun ini.
Menerusi laman Facebooknya, bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu menjelaskan, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.
Idris dalam kenyataannya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peluang kepadanya menjawat jawatan berkenaan.
Penghargaan juga ditujukan kepada warga peneroka, petugas Felda sepanjang perkhidmatannya.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi itu, berkuat kuasa 1 Mei 2020.
Bagaimanapun, pengganti beliau bagi jawatan Pengerusi Felda masih belum diumumkan.
#Idris Jusoh #pengerusi #pejabat perdana menteri #Felda
;