Idris Jusoh: Kolej Komuniti bantu lepasan PMR dan SPM dapat kemahiran vokasional
Bernama
September 8, 2013 14:33 MYT
September 8, 2013 14:33 MYT
Dasar mewujudkan satu Kolej Komuniti di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memastikan lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat pendidikan kemahiran vokasional.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kerajaan telah menetapkan dasar '1 Kolej Komuniti, 1 Parlimen' memandangkan peranan penting kolej itu dalam membantu remaja memperoleh kemahiran sebelum memasuki pasaran kerja.
Kolej Komuniti juga akan diselaraskan dengan Kolej Vokasional dan Politeknik di masa hadapan bagi membolehkan lepasan Kolej Komuniti melanjutkan pelajaran di kedua-dua institusi itu, katanya.
"Kemahiran dalam bentuk vokasional boleh diterapkan oleh Kolej Komuniti yang terbukti mampu menyalurkan pendidikan kemahiran bertaraf tinggi," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya kini terdapat 86 buah Kolej Komuniti di seluruh negara manakala sebuah Kolej Komuniti akan diwujudkan di Besut pada tahun depan.