'Idris Haron perlu minta maaf dengan 'Sultan Melaka',' kata Syed Rosli

Astro Awani
Januari 2, 2016 14:52 MYT
SYED ROSLI: 'Idris Haron perlu minta maaf dengan 'Sultan Melaka'' - Gambar fail
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron diminta segera memohon maaf kerana tuduhan gila kepada Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah yang mengaku dirinya adalah Sultan Melaka.
Penolong setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, Idris perlu menyiasat salasilahnya sendiri sebelum memperlekehkah Raja Noor Jan.
"Pandangan saya Raja Noor Jan adalah Sultan Melaka yang sah dan Tuanku telah buktikan. Daulat Tuanku. Ini pandangan saya dan orang lain perlu hormat sebab saya hormat pandangan orang lain.
"Sebelum Idris hendak menyatakan Raja Noor Jan tidak waras dan tidak tahu asal usul salasiah kesultanan Melaka lebih baik Idris selaku Ketua Menteri Melaka siasat dahulu keturunan kamu sendiri daripada mana dan adakah kamu sebenarnya layak menjadi Ketua Menteri Melaka," katanya dalam catatan di dalam laman Facebooknya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kenyataan Idris yang menyifatkan individu yang mengaku dirinya sebagai 'Sultan Melaka' adalah watak lakonan yang dibawa oleh orang yang mungkin tidak waras.
Selain itu kata Idris, anugerah darjah kebesaran yang diberi olehnya tidak berharga kerana tidak diiktiraf kerajaan negeri dan persekutuan.
Dalam pada itu, Syed Rosli turut berdoa Raja Noor Jan meneruskan perjuangan menuntut hak sebagai Sultan Melaka yang sah.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah meminta Idris tidak melabelkan individu tertentu sebagai tidak waras tanpa mengenalinya terlebih dahulu.
Penulis dan pakar motivasi, Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin sebelum ini meminta masyarakat tidak teruja dengan penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani.
Jelasnya, ia strategi Abdul Rani untuk dilihat intelektual di mata masyarakat negara ini semata-mata.
#Datuk #idris haron #MJMM #motivasi #rani kulup #Sultan Melaka
;