IDFR lancar buku mengenai pengalaman diplomat urus pandemik COVID-19, diplomasi ekonomi

Bernama
September 26, 2023 06:00 MYT
Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri pada Selasa melancarkan dua buku bertajuk 'Diplomacy Through the Pandemic' dan 'Economic Diplomacy for Developing Asia'. - Foto Facebook IDFR
KUALA LUMPUR: Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pada Selasa melancarkan dua buku bertajuk 'Diplomacy Through the Pandemic' dan 'Economic Diplomacy for Developing Asia'.
'Diplomacy Through the Pandemic' yang disunting oleh Ketua Pengarah IDFR Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin, mengetengahkan koleksi 12 cerita mengenai pengalaman 15 diplomat Malaysia di seluruh dunia dalam menguruskan pandemik COVID-19.
Buku itu mengikut model buku terlaris 2006 "Number One, Wisma Putra".
"Saya menulis surat kepada misi kami di luar negara pada Okt 2021, menggalakkan mereka menulis tentang pengalaman mereka dalam menangani krisis. Kisah pertama diterima dari Amerika Syarikat pada Dis 2021.
"Secara keseluruhan kami menerima 14 sumbangan dan kami memutuskan untuk menerbitkan 12 daripadanya," kata beliau.
Shazelina berkata antara kisah paling menarik ialah daripada Duta Malaysia ke Iran Datuk Rustam Yahaya yang menceritakan cabaran dalam proses pemindahan di tengah-tengah sekatan yang dihadapi oleh negara tuan rumah.
"Perkongsian mereka amat berharga dan saya berharap buku ini boleh menjadi rujukan berguna kepada diplomat dan pembaca kami sekiranya menghadapi sebarang kecemasan pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, 'Economic Diplomacy for Developing Asia' yang ditulis oleh Profesor Sufian Jusoh menyediakan rangka tindakan kepada pengamal dalam memajukan minat mereka melalui platform ekonomi.
Buku-buku itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
-- BERNAMA
#IDFR #pengalaman diplomat urus pandemik #diplomasi ekonomi #COVID-19
;