Ideologi Daish jauh tersasar dari ajaran Nabi - Fathul Bari

Azyyati Ahmad
Julai 5, 2016 22:25 MYT
Dr Fathul menegaskan kaedah yang digunakan militan daish jelas bisa memanipulasikan orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan Islam yang tinggi.
Idealogi militan Daish dalam memerangi maksiat dan kemungkaran adalah jauh tersasar dengan apa yang diajar Nabi Muhammad SAW.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, Islam tidak mengajar umatnya untuk bersikap ekstrim dalam memerangi maksiat dan kemungkaran.
Dr Fathul menegaskan, kaedah yang digunakan militan Daish jelas mampu memanipulasikan orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan Islam yang tinggi.
“Daish membangkitkan kebencian umat Islam kepada maksiat melalui cara yang ekstrim atau ganas, kita umat Islam dituntut benci maksiat, mana mungkin kita bercakap baik mengenai maksiat.
“Cuma Islam tak mengajar bersikap ekstrim ke atas mereka. Ini yang dilakukan Daish, mereka memanipulasi orang-orang awam yang tak mempunyai asas pelajaran agama yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Beliau turut memberi contoh satu kenyataan yang dibuat salah seorang jurucakap Daish, Al-Adnan iaitu secara jelas menyatakan kebencian ke atas orang-orang bukan Islam.
“Al-Adnan pernah berkata dalam satu kenyataan, bahawa kebencian mereka terhadap orang-orang bukan Islam ini adalah sekiranya boleh, sembelih mereka... jika tidak boleh sembelih, sakiti mereka dan sekiranya tidak boleh juga, ludahi mereka.
“Sampai begitu sekali Daish mengajar sifat kebencian kepada pengikutnya,” jelas Dr Fathul.
Beliau turut menegaskan bahawa, pemulihan fahaman Daish kepada mereka yang terjebak perlu dilakukan lebih teliti kerana ia lebih kepada pemulihan cara berfikir.
“Kita kena faham asas pemikiran begini, fahaman begini pada zaman Rasulullah SAW disebut sebagai Khawarij iaitu mereka yang praktikkan Islam dalam keadaan terlalu literal atau ekstrim.
“Kita tak boleh hanya menghantar ustaz untuk menasihati mereka, tetapi apa yang lebih diperlukan adalah pemulihan cara mereka berfikir,” katanya.
Pada Isnin, polis mengesahkan kejadian serangan di Kelab Malam Movida di Puchong minggu lalu adalah berpunca dari serangan kumpulan Daish, yang pertama seumpamanya di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata serangan yang menyebabkan lapan orang cedera itu dilancarkan oleh warga tempatan yang mendapat arahan dari anggota Daish, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi dari Syria.
#daish #Dr Fathul Bari Mat Jahaya #Pertubuhan Ilmuan Malaysia
;