Identiti tiga lagi maut kemalangan di Rompin di kenal pasti

Bernama
Oktober 5, 2014 12:39 MYT
Kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Bandar Tun Razak - Foto Bernama
Identiti tiga lagi daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Km142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.
Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).
Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua)dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.
"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Johari berkata kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.
Katanya seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena pecahan cermin bas kini dirawat di hospital sama.
Sebanyak 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
#Johari Jahaya #kemalangan #Pahang #Rompin
;