Identiti tiga kanak-kanak maut kemalangan di Lebuhraya PLUS dikenal pasti
Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2020 20:42 MYT
Disember 16, 2020 20:42 MYT
IPOH: Polis mengenal pasti identiti tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan dan dua lori di KM272.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat sini, petang ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, tujuh tahun, dan dua adiknya Muhammad Lutfi Hakim, tiga tahun, dan Muhammad Affan Hafiy, setahun.
Menurutnya, ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27 tahun, mengalami cedera parah manakala dua pemandu treler dan lori tidak mengalami kecederaan.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu yang membabitkan sebuah lori kontena, lori membawa baja sawit dan Perodua Axia pada jam 3.50 petang.Tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS.
“Kemalangan pertama berlaku di antara dua lori di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang dan kedua-duanya memasuki lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, ketika pihak PLUS datang memberi bantuan dan kawalan lalulintas, kereta Axia berkenaan hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar bahagian belakang lori kontena yang membawa muatan elektronik.
Katanya, akibat kemalangan itu, ketiga-tiga beradik berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mereka yang cedera parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Mubammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis
#Muhammad Lutfi Hakim
#Muhammad Affan Hafiy
#Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim
#Perodua Axia
#Akta Pengangkutan Jalan 1987