Identiti suami isteri dibunuh dikenal pasti, adik mangsa diburu

Abd Razak Mohd Ali
Julai 7, 2022 07:34 MYT
Sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh, pada pagi Khamis. - Gambar Astro AWANI/Abd Razak Ali
IPOH: Pasangan suami isteri yang ditemui mati, dipercayai dibunuh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh, pada pagi Khamis dikenali sebagai Ng Chun Hon, 64 dan isterinya, Ooi Tin Lu, 59.
Sehubungan itu, polis memburu adik lelaki mangsa, Ng Chun Ming, 61, yang dikatakan menghilangkan diri dengan sebuah kereta Proton Saga milik kakak iparnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada abang mangsa lelaki sekitar pukul 8.50 pagi.
Menurut Yahaya, sebaik pasukan polis dan paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun tiba, didapati dua mangsa berada dalam rumah dengan berlumuran darah dan disahkan telah meninggal dunia.
“Siasatan yang polis jalankan mendapati, kedua-dua mangsa ini telah mati akibat kecederaan disebabkan senjata tajam dan juga objek tumpul menyebabkan kedua-dua mangsa ni mati di tempat kejadian,” jelas Yahaya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Sot out.
Yahaya berkata, polis menemui mayat mangsa lelaki dalam keadaan terlentang di lantai di ruang tamu, manakala isterinya tersandar di dinding berhampiran.
Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia pada Rabu malam dan siasatan awal polis turut menerima maklumat terdengar bunyi pergaduhan tetapi tiada laporan polis dibuat mengenainya.
Ketika kejadian, ibu kepada mangsa lelaki dan suspek yang berusia sekitar 90-an serta berkerusi roda dikatakan berada di dalam bilik.
Polis juga belum menjumpai senjata yang digunakan tetapi dipercayai satu senjata tajam dan satu lagi objek tumpul telah digunakan.
Suspek, kata Yahaya, mempunyai satu kes jenayah lampau di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Nor Azalina Rais Ahmad di talian 013-6282176.
#suami isteri ditemui mati #dibunuh ahli keluarga #Taman Bercham Aman #mayat di ruang tamu