Identiti sebenar 'Mr H' didedah kepada umum esok?
Astro Awani
Disember 7, 2023 23:24 MYT
Disember 7, 2023 23:24 MYT
KUALA LUMPUR: Identiti sebenar 'Mr H' yang menjadi dalang penyebaran rakaman video berbaur lucah melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff dan pembantunya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dijangka didedahkan kepada umum esok.
Menurut sumber sebuah portal, Abdul Wahab dikatakan akan mengemukakan surat tuntutan saman terhadap ‘Mr H’, aktivist pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard serta kerajaan untuk mengheret mereka ke mahkamah.
Sebelum ini, CheguBard, menyifatkan penjelasan diberikan Mohammad Agus dalam isu kes video perbualan miripnya sangat mengelirukan.
Badrul Hisham yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, menyifatkan isu berkenaan semakin rumit, selain mempersoal sama ada rakaman video yang tersebar itu antara lain mengesahkan wujud masalah di Agus dan beberapa individu di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau menasihatkan Muhammad Agus supaya berhenti 'melondehkan' lebih banyak maklumat berhubung rakaman berdurasi lebih tiga minit yang di muat naik di laman sosialnya, kelmarin.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengesahkan individu yang dikenali sebagai "Mr H" berkait dengan siasatan kes video perbualan mirip Mohammad Agus selesai diambil keterangan.
Tanpa mendedahkan masa dan tempat "Mr H" dipanggil, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu berkenaan hadir sejak pagi pada 23 November lepas.
Pada masa sama, Mohammad Agus juga sudah mendedahkan identiti 'Mr H' dalam keterangannya kepada polis.
Katanya, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
Mohammad Agus pada sidang medianya sebelum ini turut mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Sementara Abdul Wahab sebelum ini menjelaskan, dia diarahkan seorang individu berjawatan tinggi di J-KOM, digelar 'Mr H' untuk merakam panggilan video bersama Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM.
Menurutnya, semuanya bermula selepas dia bertemu Mr H di pejabat sebelum dibawa bertemu beberapa individu berpengaruh lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.