Identiti penjawat awam wanita yang dibunuh dan diikat di Sibu didedah

Rohana Wahed
Ogos 2, 2018 22:06 MYT
Jonathan tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek kerana polis tidak menemui kesan pecah masuk. - Foto Astro AWANI
Ketua Polis Sibu mengesahkan bahawa mangsa wanita yang dibunuh di sebuah bilik di Jalan Tiong Hua di sini sebentar tadi adalah penjawat awam yang bertugas sebagai Pembantu Pendaftaran di Kaunter Pendaftaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu.
Asisten Komisoner Stanley Jonathan Ringgit berkata, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Nurnia Azalea Priscillia Edward, 26 tahun dari Kanowit.
"Mangsa ditemui dalam keadaan tangannya diikat di belakang dan berkain sarung.
"Ketika ini, fokus siasatan adalah kepada jenayah membunuh iaitu di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun siasatan akan turut melibatkan aspek lain, bergantung kepada hasil bedah siasat," katanya.
Jonathan tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek kerana polis tidak menemui kesan pecah masuk.
BACA: Temui mayat rakan dengan kaki dan tangan terikat dalam bilik
Sebelum itu, mayat mangsa ditemui sekitar jam 3 petang tadi oleh rakan-rakan setugasnya, yang curiga akan ketidakhadirannya bertugas.
Turut hadir di lokasi kejadian adalah suami mangsa, yang difahamkan seorang kerani sekolah di Tatau yang belum setahun dinikahinya.
Pasangan ini bagaimanpun belum dikurniakan anak.
#bunuh #mayat #penjawat awam #Sarawak #Sibu #Stanley Jonathan Ringgit #tangan terikat
;