Identiti 'pencuri surau' terbongkar, rupanya bekas banduan menyamar wanita
Azizul Azwa
Februari 20, 2017 18:49 MYT
Februari 20, 2017 18:49 MYT
Seorang lelaki bekas banduan sanggup menukar identitinya dengan menyamar sebagai wanita semata-mata untuk melakukan onar dengan mencuri di sebuah bilik solat wanita di sebuah surau kompleks membeli belah, di Bandar Sunway di sini hari ini.
Lelaki itu yang siap bertudung bagaimanapun berjaya dicekup pihak keselamatan pusat membeli-belah terbabit dan lebih malang apabila identitinya terbongkar.
Mangsa sebelum itu menyedari dompetnya hilang, sejurus selesai menunaikan solat Asar di surau terbabit
dan terus menemui pengawal keselamatan untuk membuat aduan.
Pengawal keselamatan kemudinnya memaklumkan kepada mangsa, suspek telah ditangkap dan semua barangan yang hilang dibawa ke Balai Polis Sunway.
Hasil siasatan awal polis mendapati, suspek baharu sebelas hari keluar dari Penjara Kajang dan memiliki rekod jenayah termasuk kesalahan mencuri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari, yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga Rabu.