Identiti pemandu BMW rentung dikenal pasti

Sinar Harian
Julai 27, 2022 14:28 MYT
Kemalangan membabitkan empat kenderaan itu berlaku berhampiran jambatan Permas Jaya menghala ke Bakar Batu di sini pada Isnin. - Gambar/ Media sosial
JOHOR BAHRU: Pemandu BMW yang rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan sebelum terbakar berhampiran jambatan Permas Jaya menghala ke Bakar Batu di sini pada Isnin, merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa dapat dikenal pasti dan disahkan selepas abang mangsa yang berusia 45 tahun melakukan ujian DNA.
"Pihak polis telah menerima laporan daripada Pejabat Kimia Negeri Johor berkenaan sampel perbandingan DNA antara mangsa yang maut dengan warisnya iaitu merupakan abang mangsa jam 2 petang tadi.
"Dalam laporan tersebut, keputusan DNA yang dipadankan adalah 99.9998 peratus sepadan antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: Seorang rentung nahas empat kenderaan
Menurut Raub, Pejabat Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akan menyerahkan jenazah kepada keluarga mangsa pada jam 8 pagi Khamis.
Selain itu katanya, pemandu yang cedera dalam kemalangan tersebut masih dirawat di zon merah HSA.
Tambah beliau, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. -Sinar Harian
#kemalangan #bmw terbakar #mayat rentung #Permas Jaya