Identiti mayat di tasik Putrajaya warga Vietnam

Sinar Harian
Januari 5, 2022 06:39 MYT
Mayat yang ditemukan di dalam sebuah tasik berhampiran Sky Ride Presint 2, Putrajaya, Sabtu lalu, dikenal pasti sebagai wanita warga Vietnam. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Mayat wanita yang sudah reput dan busuk ditemukan di dalam sebuah tasik berhampiran Sky Ride Presint 2di sini pada Sabtu lalu dikenal pasti adalah warga Vietnam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa dikenali sebagai Tran Ai Lien berusia 26 tahun.
Menurutnya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, dia mengenali mangsa sejak empat bulan lalu ketika menolongnya untuk membantu mencari rumah sewa.
"Rakan mangsa juga mengecam cincin, gelang pandora dan jaket yang dipakai mangsa selain tatu yang disahkan oleh ibu bapa mangsa.
"Temu bual polis dengan rakan serumah mangsa juga mendakwa kali terakhir bertemu mangsa pada 29 Disember lalu dan ketika itu mangsa memberitahu dia hendak keluar berjumpa rakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, pemeriksaan polis di kediaman mangsa menemui dokumen seperti tiket penerbangan lama, beberapa resit, pakaian, ubat-ubatan dan telefon bimbit yang tertera gambar mangsa.
BACA: Mayat wanita terapung di tasik Putrajaya ada tatu bunga mawar
Katanya, semakan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia mendapati mangsa masuk ke dalam negara pada 2 Mac 2020 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan tiada rekod keluar.
"Polis masih menyiasat motif kejadian dan pekerjaan mangsa," katanya.
Pada Ahad, media melaporkan mayat mangsa ditemukan dalam keadaan telentang, berpakaian lengkap dan dipercayai berada di dalam air lebih kurang dua ke tiga hari.
Pakaian mangsa ketika itu ialah blazer berwarna hitam, kemeja-T berwarna biru, skirt mini jean berwarna hitam dan tali pinggang pada skirt berlogo Versace, mangsa turut memakai tiga bentuk cincin dan gelang tangan.
* Artikel asal di Sinar Harian.
#mayat #identiti #Tasik Putrajaya #warga Vietnam
;