Identiti lelaki rentung terbakar di Merbok sudah dikenal pasti
Adie Sufian Zulkefli
Mac 25, 2024 12:30 MYT
Mac 25, 2024 12:30 MYT
ALOR SETAR: Polis telah mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan rentung di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling di Merbok, Sungai Petani, Jumaat lalu,
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa berusia 60-an merupakan orang kelainan upaya (OKU) hasil pengesahan ahli keluarga mangsa.
"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 60-an dan merupakan OKU. Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana kita tengok tiada unsur-unsur jenayah, bagaimanapun siasatan masih sedang dijalankan," katanya pada sidang media sempena Hari Memperingati Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Isnin.
Fisol turut memaklumkan, polis masih menanti laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Setakat ini, jelas beliau, polis sudah menemubual keluarga mangsa dan siasatan masih dilakukan.
Pada Jumaat lalu, Astro AWANI melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbakar lebih 90 peratus sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling.
Mayat itu ditemui oleh seorang penjaga kebun buah-buahan ketika sedang menghalau kera yang memasuki kebunnya.