Identiti dua mayat pendaki Gunung Suku sudah dikenal pasti - Ketua Polis Perak

Aida Aziz
Mei 23, 2022 13:36 MYT
Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjalani pemeriksaan tekanan darah selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 tahun 2022, di Ipoh, Perak pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Identiti kedua-dua mayat pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, sudah dikenal pasti.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang memberitahu, penemuan anggota tubuh badan pada 16 Mei lalu merupakan See Su Yen, 32, dan mayat kedua pada Sabtu lalu ialah Ng Yee Chew, 46.
Sehubungan itu, Mior Faridalathrash berkata, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, bagi mengenal pasti punca kematian kedua-dua mangsa.
"Kedua-dua identiti mangsa itu sudah dikenal pasti, bedah siasat akan dijalankan pagi ini. Selepas keputusan (bedah siasat) keluar nanti kita akan kongsikan maklumat terkini.
"Mayat kedua-dua pendaki itu masih belum dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 tahun 2022, di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan kesemua anggota tubuh badan dan mayat pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai pada Ahad lalu, dihantar ke Jabatan Forensik, HRPB, Ipoh.
Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, anggota tubuh badan mangsa dan mayat seorang lagi pendaki wanita yang ditemukan Sabtu lalu akan melalui proses bedah siasat serta pengesahan identiti.
Kedua-dua mangs aitu dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, menjelaskan mengenai Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 itu, Mior Faridalathrash berkata, aktiviti itu dianjurkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) saban tahun bagi memberi sokongan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan bekalan darah.
Katanya, program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada HRPB Ipoh dan Klinik Kesihatan Gunung Rapat.
"Kita (PDRM Perak) bekerjasama dengan dua jabatan berkenaan untuk memastikan tabung darah di hospital dalam kadar yang mencukupi.
"Ini antara khidmat kita kepada masyarakat, saya ucapakan terima kasih kepada jabatan kerajaan lain yang turut sama terbabit menderma darah.
"Setakat pagi tadi, seramai 200 orang telah mendaftar (derma darah) dan saya harap petang nanti lebih ramai yang tampil dan hadir ke sini," katanya lagi.
#mayat pendaki wanita #Gunung Suku #kepala air #dihanyutkan kepala air
;