IDECS 2020 bincang pacu ekonomi digital Sarawak

Astro Awani
September 29, 2020 13:31 MYT
IDECS 2020 dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) selaku penganjur. - Astro AWANI
KUCHING : International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) sekali lagi dianjurkan buat kali keempat dengan temanya tahun ini ‘Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity’.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Datu Dr Sabariah Putit, persidangan ini adalah merupakan langkah strategik kerajaan negeri bagi membincangkan hal berkenaan sektor ekonomi khasnya yang berpotensi besar untuk dibangunkan menerusi agenda ekonomi digital Sarawak.
“Secara strategiknya, ia mampu menyelaras posisi Sarawak sebagai hab digital.
“Ia juga berperanan sebagai platform buat menteri-menteri di negeri ini untuk melihat lebih mendalam sektor-sektor baharu yang boleh dibangunkan selaras dengan agenda ekonomi digital,” katanya.
Tambah Sabariah, pelaksanaan persidangan itu akan dilangsungkan dengan menitikberatkan Prosedur Operasi Standard seperti yang diarahkan oleh kerajaan sama ada di peringkat negeri atau di peringkat persekutuan.
Oleh yang demikian, penganjurannya akan melibatkan dua kombinasi iaitu secara fizikal dan digital, di mana melibatkan sesi webinar bersama pakar-pakar dalam bidang yang diketengahkan nanti.
“Saya berharap persidangan ini mampu menarik lebih ramai peserta yang datang bukan sahaja dari dalam negara malah dari serata dunia,” ujarnya.
Beliau menambah, terdapat lapan sub-tema yang akan dibincangkan.
Antaranya, Perkhidmatan: Kepentingan Data dalam Pandemik Kesihatan, Pusat Data dan Inovasi: Pusat Data & Inovasi-Bahan Baharu, Strategi-Strategi Digital dan Inovasi: Persaingan dalam Era A.I dan Pembangunan Modal Insan: Pembangunan Manusia dalam Multimedia.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran IDECS 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Untuk makluman, IDECS 2020 akan dianjurkan pada 7 dan 8 Oktober 2020. Ia menyasarkan penglibatan seramai 5,000 peserta secara maya dari seluruh dunia.
#AWANI Sarawak #Astro Awani #IDECS 2020 #Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Transformasi Prestasi dan P #Datu Dr Sabariah Putit #Sarawak #hab digital #ekonomi digital
;