'Idea kereta terbang itu sampah!' - Rais Hussin
Astro Awani
November 19, 2019 08:06 MYT
November 19, 2019 08:06 MYT
Projek kereta terbang disifatkan sebagai "idea sampah" oleh salah seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ketua Biro Polisi dan Strategi PPBM Dr Rais Hussin berkata perhatian sewajarnya diberikan kepada isu yang sepatutnya.
"Saya setuju perhatian patut diberikan kepada manifesto. Namun, ingin saya tekankan di sini, saya masih pertahankan manifesto yang ditawarkan.
"Saya percaya Pakatan Harapan juga sama. Kita berusaha sehabis baik untuk mencapai apa yang tertera dalam manifesto."
Rais berkata demikian sebagai respons kepada hujah daripada Ketua Pemuda MCA Nicole Wong tentang kelewatan Pakatan Harapan bukan sahaja dalam menunaikan manifesto yang ditawarkan tetapi juga membuat cadangan baharu yang tidak diperlukan.
Malah, Rais mengambil contoh dari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerangkan komitmen Pakatan terhadap manifesto yang digariskan.
"Jika dilihat pada ulang tahun Pakatan Harapan sebagai Kerajaan, perdana menteri sendiri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penekanan kepada pencapaian kerajaan dari segi manifesto.
"Harus diingat, Pakatan terpaksa berdepan dengan masalah yang diwarisi. Kita masih mencari jalan untuk menyelesaikan semua.
"Manifesto kami adalah work in progress' (sedang dalam proses untuk dicapai)," kata Rais.
Beliau dan Nicole merupakan tetamu yang dijemput dalam sesi temu bual dalam program Consider This di Astro AWANI pada Isnin malam.