Idea golongan karyawan boleh diguna majukan bangsa dan negara - MB Perak

Bernama
Julai 20, 2016 07:16 MYT
ZAMBRY: Kalau sesebuah negara dan negeri dibangunkan tanpa idea, ia akan membangun secara 'ad hoc' atau tempelan sahaja. - Gambar fail
Menyedari karya dan cetusan idea golongan karyawan boleh dijadikan ilham untuk memajukan sesebuah bangsa dan negara, kerajaan negeri sentiasa melihat karya mereka dalam membangunkan Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
"Golongan karyawan adalah sangat penting, kita jangan memandang rendah dengan kemampuan mereka untuk membangunkan negara kerana mereka adalah golongan penulis yang memberikan idea.
"Kalau sesebuah negara dan negeri dibangunkan tanpa idea, ia akan membangun secara 'ad hoc' atau tempelan sahaja," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menurut Zambry, sebagai mengiktiraf golongan karyawan, kerajaan negeri akan menyediakan Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) ke-5 pada Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor Ke-7 yang akan berlangsung dari 1 hingga 4 Dis depan.
Katanya HSDR kelima itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan karya-karya bermutu tinggi yang dihasilkan sepanjang tahun 2014-2015.
HSDR meliputi 14 kategori dalam pelbagai genre penulisan termasuk kumpulan puisi; kumpulan cerpen; rencana sastera; skrip drama radio dan skrip drama televisyen.
Selain itu, Zambry berkata bersempena dengan Pulara kali ini, satu seminar bahasa dan persuratan Melayu akan diadakan pada 2 dan 3 Dis dengan disertai pakar-pakar berkenaan dari dalam dan luar negara.
"Kira-kira 400 orang dijangka menyertai seminar tersebut termasuk dari Jerman, China, Korea dan Rusia," katanya dan menambah bilangan pengunjung untuk Pulara kali ini dijangka melebihi 5,000 orang sebagaimana direkodkan tahun lalu.
#golongan karyawan #Hadiah Sastera Darul Ridzuan #HSDR #karya dan cetusan idea #Zambry Abd Kadir
;