Idea bangun awal elak tol: Netizen saran diskaun sebelum jam 6 pagi
Madiha Abdullah
November 4, 2015 08:00 MYT
November 4, 2015 08:00 MYT
Nama Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjadi sebutan warga media sosial sejak petang semalam. Semuanya susulan kenyataan yang dikeluarkannya ditafsir di luar konteks oleh sesetengah pihak.
Hashtag #mpkotabeludadvice juga antara yang trending di laman sosial.
Pun begitu, tidak semua memandang cadangan 'bangun awal untuk elak tol' sebagai perkara negatif. Sebaliknya, ramai yang sedar bahawa cadangan tersebut punya pengisian, hanya mungkin ia dimanipulasikan dan tidak diletakkan dalam konteks yang sepatutnya.
Lebih menarik, isu bangun awal ini juga mencetuskan idea di kalangan netizen. Banyak cadangan bernas diutarakan berkenaan caj tol dan ia menerima reaksi positif dari Rahman Dahlan sendiri.
Antara saranan yang popular adalah diskaun tol untuk pengguna yang menggunakan lebuh raya sebelum jam 6 pagi.
Tidak kurang juga yang mencadangkan agar penambahbaikan pengangkutan awam dipertingkatkan. Ini kerana, perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang baik menjadi punca kenapa masyarakat memilih untuk memandu sendiri ke tempat kerja.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata penggunaan jalan alternatif adalah satu cara untuk mengelak daripada membayar tol. Namun pengguna jalan raya perlu bangun awal kerana penggunaan jalan alternatif kebiasaannya akan membuatkan masa perjalanan ke destinasi lebih panjang.