Idea ambil pekerja asing warga Afrika masih di peringkat cadangan - Dr Mahathir

Abd Hadi Che Awang
Jun 29, 2019 19:11 MYT
DR MAHATHIR: Tapi (jika) orang Malaysia tak mahu kerja, kita bagi semua kat orang lainlah. Kita belum buat pilihan apa pun, ya... (masih di peringkat) cadangan saja. -Gambar fail
Idea membawa masuk pekerja asing dari negara Afrika untuk bekerja dalam sektor perladangan masih berada di peringkat cadangan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Kabinet akan memperhalusi cadangan itu dengan lebih mendalam pada mesyuarat akan datang.
Menurutnya, tindakan membawa masuk pekerja dari Afrika mungkin akan dilaksanakan bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan.
Ia berikutan keengganan rakyat negara ini bekerja dalam sektor terbabit walaupun Malaysia mempunyai jumlah bilangan penduduk yang ramai.
"Saya berpendapat bahawa orang di Malaysia ni ramai, tak payahlah bawak masuk orang asing.
"Tapi (jika) orang Malaysia tak mahu kerja, kita bagi semua kat orang lainlah. Kita belum buat pilihan apa pun, ya... (masih di peringkat) cadangan saja."
Tun Mahathir berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA pada Sabtu.
Pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mengetengahkan cadangan membawa masuk pekerja dari negara Afrika berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak lagi berminat untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima hampir sama dengan di negara asal.
#bekerja dalam sektor perladangan #kulasegaran #Mahathir Mohamad #pekerja asing #warga afrika
;