#ICYMI: Berita Pilihan Pengarang (29 Feb - 6 Mac 2016)

Astro Awani
Mac 6, 2016 07:01 MYT
Senarai Berita Pilihan Pengarang sepanjang minggu dari 29 Februari hingga 6 Mac 2016.
Permulaan minggu dimulakan dengan kejutan mengenai pengumuman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar daripada parti UMNO, dan tindakan itu telah menimbulkan kesan rantaian reaksi bagi yang mengikuti isu politik negara.
Tumpuan politik juga masih melingkar sekitar isu Timbalan Presiden UMNO yang digantung iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain daripada itu, takyat Malaysia juga sepanjang minggu tertarik dengan beberapa berita menarik dan hangat yang melibatkan hal-hal seperti pekerjaan, cabaran ekonomi, bencana alam, kisah keluarga, serta kepincangan kemanusiaan.
Berikut adalah berita pilihan pengarang Astro AWANI bagi minggu bermula 29 Februari sehingga 6 Mac 2016:
ISNIN, 29 FEB:
Tun Mahathir dan isteri umum keluar UMNO
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan penarikan diri dari parti UMNO berkuatkuasa serta-merta, dalam satu sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana. Ahli politik veteran itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu tidak lagi sama dengan UMNO yang terdahulu.
Buat laporan polis jika tahu wujud komplot jatuhkan Najib - Ibrahim Ali
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman dinasihat membuat laporan polis jika mengetahui wujudnya komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata, sebarang tuduhan tanpa laporan polis hanya akan menimbulkan keraguan masyarakat.
SELASA, 1 MAC:
Petronas akan lepaskan maksimum 1,000 pekerja dalam 6 bulan
Petronas dijangka akan melepaskan maksimum 1,000 jawatan dalam struktur terbaharunya dalam tenpoh enam bulan namun komited untuk melakukan yang terbaik untuk menempatkan semula pekerja yang terkesan.
Selain berita daripada kenyataan media Petronas tersebut, video dan reaksi mengenai sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dirinya keluar UMNO terus ditonton ramai pada 1 Mac. Tonton video di bawah ini:
RABU, 2 MAC:
Wanita 'serang' majlis persandingan suami sah dicerai talak tiga
Seorang wanita yang menjadi sebutan netizen gara-gara videonya menyerang suaminya yang sedang bersanding, sah diceraikan talak tiga pada Selasa (1 Mac). Bagaimanapun, menerusi status yang dimuat naik ke akaun Facebook, wanita itu menyatakan tidak kesal dengan apa yang terjadi.
Perlukah Muhyiddin keluar UMNO - Rais Yatim
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menjadi tamu dalam talian dalam AWANI 7:45 bagi membincangkan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan nasibnya dalam UMNO.
KHAMIS, 3 MAC:
Gempa bumi 7.9 magnitud landa kepulauan Mentawai, Sumatera
Gempa bumi dengan kekuatan 7.9 magnitud melanda kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia, pada jam 8.49 malam waktu Malaysia (2 Mac). Ia berlaku pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 808 kilometer barat daya Padang.
Gempa Sumatera, Indonesia: 80 pelajar Malaysia di Universitas Andalas selamat
Seramai 80 pelajar Malaysia di Universitas Andalas di Padang, Indonesia, berada dalam keadaan selamat meskipun berhadapan dengan gegaran gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud yang berlaku di barat daya Sumatera pada malam 2 Mac.
JUMAAT, 4 MAC:
Tun M, pemimpin pembangkang tandatangani 'Deklarasi Rakyat' desak Najib letak jawatan
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani deklarasi bersama bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO). Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.
Anwar umum sokongan terhadap Tun Mahathir
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berseteru dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1998 mengumumkan sokongannya terhadap bekas pemimpin negara itu bagi mendesak perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
SABTU, 5 MAC:
Kes keracunan makanan di Batu Gajah dilapor pertama kali berlaku penyemburan racun
Kes keracunan makanan di Siputeh, Batu Gajah, Perak pada Jumaat adalah pertama kali dilaporkan berlaku akibat pencemaran berpunca daripada penyemburan racun rumpai di kawasan berhampiran gerai dan kemudiannya mencemarkan makanan selepas ditiup angin.
Keracunan di Batu Gajah: Pesakit menunjukkan reaksi positif, semakin pulih - Dr Mah
Kesemua pesakit yang mengalami keracunan makanan yang berlaku di daerah kecil Batu Gajah, Perak pada Jumaat kini semakin pulih selepas menjalani rawatan di tiga hospital di negeri itu.
AHAD, 6 MAC:
Penukaran PM tidak perlu tunggu pilihan raya umum - Mahfuz
Ahli Parlimen PAS Pokok Sena itu berkata, terdapat beberapa kes di Malaysia, termasuk yang berlaku baru-baru ini, apabila kepimpinan telah ditukar tanpa melalui proses pilihan raya.
JDT terima sumbangan RM1 juta: 'Dah kaya, makin kaya' - Netizen
Pengguna media sosial menzahirkan pelbagai reaksi berikutan berita mengenai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim mendapat 'hadiah' berupa sumbangan RM1 juta daripada Putrajaya. rata-ratanya beranggapan sumbangan itu tidak perlu untuk kegunaan pasukan tersebut memandangkan kewangan skuad berada pada tahap baik. Namun, imbuhan tersebut adalah kerana JDT m.eraih kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015.
#Berita Pilihan Pengarang #Berita Terkini #gempa bumi di Mentawai Sumatera #keracunan makanan di Batu Gajah #Petronas buang pekerja #Tun Mahathir keluar UMNO
;