#ICYMI Berita Pilihan Pengarang (17 - 23 Oktober, 2016)

Astro Awani
Oktober 24, 2016 09:38 MYT
Berita Pilihan Pengarang Astro AWANI yang menjadi tumpuan umum sepanjang minggu, dari 17 hingga 23 Oktober, 2016.
BERIKUT ialah Berita Pilihan Pengarang Astro AWANI yang menjadi tumpuan umum sepanjang minggu, dari 17 hingga 23 Oktober, 2016.
ISNIN, 17 OKTOBER
Parti Warisan Sabah dapat kelulusan, Shafie Apdal selaku presiden
Penukaran nama parti asal Sabah yang diambil alih bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal diluluskan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di Putrajaya.
Parti yang dahulu dikenali sebagai Parti Pertubuhan Warisan Sabah yang diluluskan pada 2013 kini dikenali sebagai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pegawai JPJ maut ditikam tidak sempat timang anak sulung
Hasrat seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Shukri Hussin, 34, untuk menimang cahaya mata sulungnya tidak kesampaian apabila beliau maut ditikam bakal adik iparnya di Kuala Terengganu, Isnin lalu.
SELASA, 18 OKTOBER
Kementerian Pendidikan kecewa dengan 'latihan ular' di sekolah
Kementerian Pendidikan menyatakan kekecewaannya terhadap sebuah latihan meredah kolam berisi ular yang dijalankan di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya sedang menyiasat latihan tersebut, yang di jalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas sekolah berkenaan membuat aduan kepada jabatan pendidikan daerah.
RABU, 19 OKTOBER
Pemimpin kumpulan Baju Merah, Jamal Yunos ditahan di KLIA
Pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos ditahan oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang.
Menurut laporan, Jamal ditahan pada pukul 8.30 tadi sejurus tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
KHAMIS, 20 OKTOBER
Penjual teh dari Pakistan kini peragawan tempias populariti media sosial
Seorang penjual teh dari Pakistan dilimpahi rezeki selepas sekeping gambar beliau viral di media sosial.
Wajah tampan Arshad Khan,18, yang menjual teh di Bazaar Islamabad pada hujung minggu menjadi perbualan netizen selepas gambar beliau dikongsi oleh jurugambar Jiah Ali di laman Instagramnya.
Susulan itu, Arshad ditawarkan kontrak peragaan oleh sebuah gedung beli belah atas talian, Fitin.pk.
JUMAAT, 21 OKTOBER
Pembentangan Bajet 2017
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017 dalam bajet yang disifatkan oleh beliau sebagai berteraskan kesejahteraan rakyat.
SABTU, 22 OKTOBER
Bajet 2017: Apa kata anggota Parlimen pembangkang?
Pihak pembangkang melahirkan kekhuatiran sama ada kerajaan mampu atau tidak menampung hutang berbilion ringgit yang dihadapi kini.
Malah, mereka mempersoal mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyatakan pelan kewangan negara yang bakal berdepan ekonomi dunia yang tidak menentu.
AHAD, 23 OKTOBER
MCA cadang gubal perlembagaan, buka keahlian kepada semua kaum
Sebagai salah satu langkah untuk menjadi lebih terbuka, MCA bakal meminda perlembagaan parti dan membenarkan wakil cawangan untuk memilih pimpinan peringkat nasional.
Presiden Parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pindaan perlembagaan itu akan dibuat pada perhimpunan agung parti itu tidak lama lagi.
Selain itu, MCA juga bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon untuk membuka keahlian gabungan MCA kepada masyarakat bukan Cina.
#Bajet 2017 #berita #campak ular #ICYMI #Jamal Yunos #Pilihan Pengarang
;