BERIKUT ialah Berita Pilihan Pengarang Astro AWANI yang menjadi tumpuan umum sepanjang minggu, dari 17 hingga 23 Oktober, 2016.

ISNIN, 17 OKTOBER

Parti Warisan Sabah dapat kelulusan, Shafie Apdal selaku presiden

Penukaran nama parti asal Sabah yang diambil alih bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal diluluskan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di Putrajaya.

Parti yang dahulu dikenali sebagai Parti Pertubuhan Warisan Sabah yang diluluskan pada 2013 kini dikenali sebagai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Shafie yang hadir tepat jam 9 pagi membawa logo baharu parti tersebut yang diinspirasikan daripada kapal layar dan berwarna biru dan merah.
Pegawai JPJ maut ditikam tidak sempat timang anak sulung

Hasrat seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Shukri Hussin, 34, untuk menimang cahaya mata sulungnya tidak kesampaian apabila beliau maut ditikam bakal adik iparnya di Kuala Terengganu, Isnin lalu.


SELASA, 18 OKTOBER

Kementerian Pendidikan kecewa dengan 'latihan ular' di sekolah

Kementerian Pendidikan menyatakan kekecewaannya terhadap sebuah latihan meredah kolam berisi ular yang dijalankan di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya sedang menyiasat latihan tersebut, yang di jalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas sekolah berkenaan membuat aduan kepada jabatan pendidikan daerah.


RABU, 19 OKTOBER

Pemimpin kumpulan Baju Merah, Jamal Yunos ditahan di KLIA

Pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos ditahan oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang.

Menurut laporan, Jamal ditahan pada pukul 8.30 tadi sejurus tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Jamal (tengah) berkata, dia ditahan pada pukul 8.30 tadi sejurus tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
KHAMIS, 20 OKTOBER

Penjual teh dari Pakistan kini peragawan tempias populariti media sosial

Seorang penjual teh dari Pakistan dilimpahi rezeki selepas sekeping gambar beliau viral di media sosial.

Wajah tampan Arshad Khan,18, yang menjual teh di Bazaar Islamabad pada hujung minggu menjadi perbualan netizen selepas gambar beliau dikongsi oleh jurugambar Jiah Ali di laman Instagramnya.

Susulan itu, Arshad ditawarkan kontrak peragaan oleh sebuah gedung beli belah atas talian, Fitin.pk.

Seorang penjual teh dari Pakistan dilimpahi rezeki mengejut selepas sekeping gambarnya viral di media sosial.
JUMAAT, 21 OKTOBER

Pembentangan Bajet 2017

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017 dalam bajet yang disifatkan oleh beliau sebagai berteraskan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
SABTU, 22 OKTOBER

Bajet 2017: Apa kata anggota Parlimen pembangkang?

Pihak pembangkang melahirkan kekhuatiran sama ada kerajaan mampu atau tidak menampung hutang berbilion ringgit yang dihadapi kini.

Malah, mereka mempersoal mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyatakan pelan kewangan negara yang bakal berdepan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Sekumpulan ahli Parlimen pembangkang dilihat membawa plakad selepas keluar dari dewan semasa pembentangan Bajet 2017.
AHAD, 23 OKTOBER

MCA cadang gubal perlembagaan, buka keahlian kepada semua kaum

Sebagai salah satu langkah untuk menjadi lebih terbuka, MCA bakal meminda perlembagaan parti dan membenarkan wakil cawangan untuk memilih pimpinan peringkat nasional.

Presiden Parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pindaan perlembagaan itu akan dibuat pada perhimpunan agung parti itu tidak lama lagi.

Selain itu, MCA juga bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon untuk membuka keahlian gabungan MCA kepada masyarakat bukan Cina.

Liow Tiong Lai berkata pindaan perlembagaan itu akan dibuat pada perhimpunan agung parti itu tidak lama lagi.