#ICYMI: Berita Pilihan Pengarang (13 Jun - 19 Jun)
Suganthi Suparmaniam
Jun 19, 2016 07:42 MYT
Jun 19, 2016 07:42 MYT
Astro AWANI menyajikan pelbagai berita sepanjang minggu untuk tatapan pembaca, namun ada beberapa tajuk utama yang telah meraih perhatian yang lebih luas.
Antara berita yang menjadi tumpuan adalah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi syarikat Rayani Air dan misteri papan penghadang masjid di Melaka bergerak sendiri.
ISNIN 13 Jun:
Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.
SELASA 14 Jun:
Seekor anjing yang diberi nama Diggy berjaya mencuri hati para netizen dan media arus perdana di Amerika Syarikat.
Namun setelah menjadi ‘selebriti’ dan gambarnya kini viral, pihak berkuasa mahu anjing itu dibunuh.
Ini kerana bandar Waterford di Michigan, Amerika Syarikat iaitu tempat tinggal anjing itu mempunyai ordinan untuk mengharamkan anjing baka pitbull.
RABU 15 Jun:
Pengerusi Lembaga Masjid Baru Tedong di Serkam, Melaka mempelawa mana-mana pakar makhluk halus untuk mengkaji kesahihan insiden pelik yang berlaku di masjid itu baru-baru ini.
Datuk Akhbar Ali berkata, insiden dua papan penghadang bergerak dengan sendiri itu berlaku pada 28 Mei lalu sekitar jam 3.20 pagi.
KHAMIS 16 Jun:
Pemandu di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pastinya terkejut dengan kehadiran seekor burung unta di laluan kanan lebuhraya itu.
Bunyinya agak pelik, namun itulah apa yang berlaku berhampiran stesen LRT Universiti pada lebih kurang jam 3 petang tadi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tuduhan liar yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak berasas dan berniat jahat.
Katanya lagi, tuduhan penulis Raja Petra Kamaruddin dalam beberapa siri entri blognya menjijikkan.
"Segala tohmahan tersebut adalah fitnah jahat dan sangka buruk yang disebarkan semata-mata untuk merosakkan integriti serta berbaur politik yang cukup menjijikkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini," kata Muhyiddin.
Dua nelayan di Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan negara itu, akhirnya kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Nelayan berkenaan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong tiba di Jeti Pantai Redang sekitar jam 5.30 petang ini.
Kanak-kanak dua tahun diseret buaya di taman tema Walt Disney, ditemui mati
Kanak-kanak lelaki dua tahun yang didakwa ditarik ke dalam lagun oleh seekor buaya di taman tema terkenal, Walt Disney World ditemui mati pasukan pencari dan penyelamat.
Mayat Lane Graves dari Nebraska ditemui dalam keadaan sempurna pada tengah hari Rabu (waktu tempatan), tidak jauh dari Hotel Grand Floridian Resort di mana saksi mendakwa melihat dia jatuh ke dalam lagun selepas ditarik oleh seekor buaya.
JUMAAT 17 Jun:
Anggota Parlimen Britain dari Parti Buruh, Jo Cox yang sebelum ini kritikal selepas diserang dan ditikam seorang lelaki meninggal dunia.
Cox, 41 tahun dan mempunyai dua orang anak ditembak dan ditikam seorang lelaki di luar perpustakaan Birstall ketika mahu menghadiri satu mesyuarat.
SABTU 18 Jun:
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar membuat kejutan apabila tampil sebagai seorang pemandu Uber.
Firdaus Fadzil, pengguna aplikasi Uber nyata teruja untuk melihat Wahid sebagai pemandu kereta Uber yang ditempahnya.
AHAD 19 Jun:
Polis sedang mencari saksi bagi satu kejadian tembakan terhadap seekor anjing dipercayai menggunakan senapang di Taman Junid Perdana di sini pada Jumaat lalu.
Kejadian itu disedari seorang pelajar berusia 18 tahun sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Tabung Haji (TH) menyewa 12 bangunan bagi menempatkan 22,320 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji 2016.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata perjanjian penyewaan 12 bangunan itu merangkumi sembilan bangunan di Makkah dan tiga di Madinah.
Jelasnya, jarak hotel dari Masjidil Haram, Makkah tidak lebih daripada 1,000 meter, manakala di Madinah pula tidak lebih 150 meter dari Masjid Nabawi.
Tiada unsur makhlus halus
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menolak dakwaan wujud gangguan makhluk halus sehingga menyebabkan papan penghadang solat Masjid Tedong, Melaka bergerak sendiri.