ICU terbakar: Kerajaan luluskan peruntukan baiki Hospital Sultanah Aminah

Tan Su Lin
Oktober 26, 2016 18:04 MYT
Staf HSA membawa keluar barangan perubatan dari HSA dalam insiden kebakaran di wad ICU hospital tersebut semalam. - Gambar fail
Kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk pemulihan bahagian Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terjejas akibat kebakaran semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah memberikan kelulusan agar peruntukan berkenaan disegerakan agar kerja-kerja pemulihan dapat dimulakan sebaik siasatan punca kebakaran selesai.
"Usaha pemulihan dan memperbaiki fasiliti yang telah terjejas akibat kebakaran itu akan dibuat secepat mungkin sebaik sahaja pihak bomba menamatkan siasatan mereka dan mengisytiharkan bahawa kerja-kerja pemulihan dapat dimulakan."
BACA: LAPOR LANGSUNG Kebakaran Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
"Buat masa sekarang, tempat itu masih ditutup oleh pihak bomba kerana mereka masih menjalankan siastaan punca kebakaran di tempat itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, satu audit kebakaran akan diadakan terhadap semua kemudahan di bawah Kementerian Kesihatan khususnya hospital-hospital lama yang menjangkaui usia 50 tahun.
GALERI FOTO: Kebakaran wad ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
"Kita akan mulakan secepat mungkin proses pengauditan kebakaran terhadap fasiliti-fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan bermula dengan fasiliti yang paling tua sekali. Kita akan melihat berapa buah hospital yang berusia lebih 50 tahun," katanya.
INFOGRAFIK: Apa yang perlu anda tahu tentang kebakaran di Hospital Sultanah Aminah
Mengulas tentang cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat insiden kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA semalam, Dr Subramaniam berkata ia akan dianggotai wakil daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar dalam bidang berkenaan termasuk jurutera dan arkitek.
Pada kebakaran 8.56 pagi semalam, enam pesakit terdiri dari empat wanita dan dua lelaki terkorban. Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.
Dua kakitangan HSA yang tercedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala seorang kakitangan dirawat di HSA akibat terhidu asap.
Dalam perkembangan lain, suasana panik sekali lagi menyelubungi premis HSA apabila penggera kecemasan berbunyi kira-kira pukul 1.40 petang tadi.
Menurut beberapa saksi, mereka mendakwa berlaku kebakaran di Dewan Bedah 5, Bangunan Utama HSA sekaligus terlihat kepulan asap di Tingkat 1 bangunan itu.
Namun, keadaan adalah terkawal selepas Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh mengesahkan kejadian terjadi akibat percikan api.
#Dr Subramaniam #Hospital Sultanah Aminah #ICU #kebakaran #Parlimen #peruntukan
;