ICU terbakar: Bedah siasat selesai, kesemua mayat dituntut ahli keluarga
Bernama
Oktober 25, 2016 23:35 MYT
Oktober 25, 2016 23:35 MYT
Bedah siasat ke atas semua mayat mangsa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini selesai dijalankan, menurut sumber Jabatan Perubatan Forensik HSA, malam ini.
Empat daripadanya - K. Logeswaran, 20; Choo Lin Fung, 37; Tow Ah Wah, 60; dan Yusuf Hasan, 53, - dituntut lebih awal lagi oleh keluarga masing-masing untuk dibawa pulang bagi urusan pengebumian.
"Dua lagi mayat mangsa, M. Kaliama, 23, dan C. Neeramala Devi, 24, baru selesai dibedah siasat kira-kira pukul 9 malam tadi dan dituntut oleh ahli keluarga masing-masing," kata sumber itu.
Mayat Neeramala akan dibawa pulang ke kampungnya di Ladang St Helier, Bahau, Negeri Sembilan malam ini manakala mayat Kaliama akan dibawa pulang ke rumahnya di Kangkar Pulai, di sini. - BERNAMA